Kita semua perlukan Anwar Ibrahim ~ Sofi, Kerajaan Rakyat

Tuesday, February 19, 2013

Lebih ramai bekas jeneral sertai Pakatan


Datuk Seri Anwar Ibrahim
Selain empat bekas jeneral yang mengisytihar sokongan padu kepada Pakatan Rakyat tempoh hari, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan lebih ramai bekas pegawai tertinggi tentera lain akan mengikut jejak mereka.
Berucap pada Jelajah Merdeka Rakyat ke Kelana Jaya di sini, malam tadi, Ketua Umum KEADILAN itu bagaimanapun tidak menyatakan tarikh tepat tetapi berkata mereka akan berbuat demikian tidak lama lagi.
“Bayangkan, empat bekas jeneral sokong kita. Empat-empat sekaligus umum (sokong Pakatan). Saudara lihat nanti, hari-hari berikut (ada) berita-berita baik lagi,” katanya.
Pada 16 Februari lalu, Leftenan Jeneral (B) Datuk Abdul Ghafir Abdul Hamid; Brigedier Jeneral (B) Datuk Abdul Hadi Al-Khatab; Laksamana Pertama (B) Imran Abd Hamid dan Brigedier Jeneral (B) Datuk Najmi Ahmad, mengisytihar sokongan kepada Pakatan Rakyat.

Ghafir ialah bekas Timbalan Angkatan Tentera Darat; Bekas Panglima Logistik di Markas Logistik Udara (Hadi); Bekas Ketua Staf Logistik Markas Armada TLDM (Imran) dan Bekas Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (Najmi).
Anwar berkata, keempat-empat bekas jeneral itu juga memberi jaminan untuk memastikan keamanan berterusan di negara ini apabila berlaku perubahan politik di peringkat persekutuan.
“Ada khabar angin, kononnya kalau Umno kalah, akan kacau bilau negara ini. Tahu tentera kata apa? Kami (empat bekas jeneral) bertekad bersama ramai kawan-kawan kami, akan pastikan negara ini hormat Perlembagaan.
“Mereka akan bantu dan pastikan perubahan kerajaan secara aman jika Pakatan ditakdir menang PRU 13,” katanya.
Selain tentera, beliau berkata, bekas pegawai tertinggi polis juga menyokong Pakatan termasuk bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari manakala bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan juga ada bertemu beliau.
“Maknanya apa? Mereka tahu ada peralihan (kuasa politik). Jadi, polis-polis yang ada bertugas di sini, baik sokong kita,” katanya dengan nada berseloroh.
Anwar  juga menegaskan beliau tidak berdendam dengan mana-mana pegawai dan anggota polis termasuk individu (bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor) yang pernah memukulnya pada 1998.
“Saya tak dendam. Yang pukul saya pun seorang saja. Tak apalah, sudahlah. Banyak polis kerjanya bagus, bagus,” katanya.