Sunday, February 24, 2013

PDRM sediakan 112,000 anggota hadapi PRU-13


Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13)
KUALA LUMPUR — Seramai 112,000 anggota polis akan terlibat bertugas pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), kata Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (PGA/Pengurusan Sempadan/Kawalan Keselamatan Lapangan Terbang Antarabangsa), Datuk Muhammad Fuad Abu Zarim.
Muhammad Fuad berkata, anggota ini terdiri dari pelbagai pangkat dari semua cawangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalani latihan termasuk latihan amal ex ballot III hari ini dan esok.
Beliau berkata, mereka juga telah melalui beberapa siri latihan bermula awal tahun ini bagi mempersiap minda dan kesediaan fizikal. "Sebelum ini mereka telah melalui dua siri latihan, siri pertama berbentuk table talk iaitu perbincangan mengenai penugasan semasa PRU13.

"Siri kedua ialah dalam bentuk perbincangan serta tindakan dan bagi siri ketiga (ex ballot III) ia dilakukan secara live exercise di medan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini. Namun bagi siri latihan ketiga ini, Muhammad Fuad berkata ia hanya akan dilakukan di Perak sahaja, memandangkan negeri itu antara negeri yang besar di Malaysia.
"Seramai 280 angggota dari Bukit Aman akan mengendali dan mengawasi latihan di Perak. Bagi lain-lain negeri mereka hanya akan melalui sehingga siri kedua latihan sahaja,” katanya. — BERNAMA