Tuesday, February 19, 2013

Perdana Menteri Australia minta penjelasan Malaysia


Perdana Menteri Australia, Cik Julia Gillard
Julia Gillard
CANBERRA: Australia meminta penjelasan daripada Malaysia mengapa ia mengusir seorang senator Australia yang berkunjung ke Malaysia bagi tujuan menimba maklumat mengenai sistem pilihan raya negara itu menjelang pilihan raya umumnya dalam beberapa bulan ini, kata Perdana Menteri Australia, Cik Julia Gillard, semalam.
Encik Nick Xenophon, seorang senator bebas dari Australia Selatan, pulang dari Malaysia ke tanah airnya semalam sambil berkata beliau telah diusir atas arahan pemimpin "peringkat tertinggi" kerajaan Malaysia kerana sokongannya kepada aktivis pembaharuan demokrasi di Malaysia.
Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Melbourne selepas penerbangan lapan jam semalam, Encik Xenophon berkata beliau adalah anggota parlimen pertama Australia yang diusir pulang dari mana-mana negara.
Encik Xenophon berkata beliau ditahan dan diarah pulang ke tanah airnya oleh pihak berkuasa Malaysia setibanya beliau di salah satu lapangan terbang dekat Kuala Lumpur, kelmarin.

Cik Gillard semalam mendedahkan bahawa kerajaannya telah "segera membuat bantahan dan bertegas" bagi pihak Encik Xenophon agar beliau dibenarkan membuat kunjungannya ke Malaysia.
"Saya terkejut dan hampa melihat layanan yang diterima Senator Xenophon semalam (kelmarin)," kata Cik Gillard kepada wartawan, seperti yang ditukil dalam laporan agensi berita The Associated Press (AP), semalam.
"Jelas sekali, kami gagal mendapatkan persetujuan kerajaan Malaysia bagi beliau kekal berada di Malaysia. Kami akan terus menimbulkan isu ini dengan kerajaan Malaysia," tambahnya.
Encik Xenophon menyifatkan keputusan yang diambil kerajaan Malaysia itu sebagai berpunca daripada sokongannya kepada sebuah kumpulan pembaharuan demokrasi setempat, Gabungan bagi Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), yang cuba memastikan pilihan raya umum akan datang di Malayisa dijalankan dengan telus dan bersih.
"Saya tahu keputusan mengusir saya datang daripada (arahan) peringkat tertinggi kerajaan Malaysia," kata Encik Xenophon.
"Saya telah diberitahu bahawa saya diusir di bawah seksyen tertentu Akta Imigrasi, yang pada dasarnya dikaitkan dengan risiko keselamatan, tetapi kelihatannya risiko yang saya bawa ialah memalukan kerajaan Malaysia kerana saya menyokong pilihan raya bersih di Malaysia," tambahnya.
Encik Xenophon berkunjung ke Malaysia untuk bertemu dengan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, seorang menteri Kabinet, para pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia dan para aktivis politik bagi membincangkan isu ketelusan dalam pilihan raya negara itu, yang harus diadakan menjelang akhir Jun ini.
Ketua polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, berkata Encik Xenophon ditahan ketika beliau tiba di lapangan terbang awal kelmarin dan tidak dibenarkan masuk Malaysia "atas sebab-sebab keselamatan".
Encik Xenophon, yang juga bekas peguam, ditahan dalam kawasan soal siasat lapangan terbang berkenaan sehingga beliau menaiki pesawat untuk pulang ke Melbourne pada malam kelmarin.
Pengarah besar Jabatan Imigrasi Malaysia, Datuk Alias Ahmad, pula berkata kerajaan Malaysia telah mengeluarkan kenyataan bahawa Encik Xenophon diharamkan masuk ke negara itu kerana beliau pernah hadir dalam tunjuk perasaan anjuran Bersih di Kuala Lumpur tahun lalu.
Sementara itu, mantan perdana menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, semalam dipetik portal berita, The Malaysian Insider (TMI), sebagai berkata bahawa Putrajaya tidak perlu melayani kritikan Canberra kerana mengusir pulang senatornya.
"Jika beliau datang ke sini dengan hasrat tidak baik, lebih baik jangan datang ke sini," kata Dr Mahathir.
"Jika mereka mahu mengkritik, mereka boleh kritik. Kami tidak perlu melayani mereka," katanya kepada wartawan selepas meraikan majlis perayaan Tahun Baru Cina di Kuala Lumpur, semalam.