Tuesday, February 12, 2013

Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan menyaksikan polarisasi kaum yang paling ketara

Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan menyaksikan polarisasi kaum yang paling ketara sejak negara merdeka, kata para pengamat politik.
 Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) PAS ganti UMNO, Ubah sekarang selamatkan Malaysia, Lawan Tetap Lawan
Ini berikutan beberapa isu seperti hudud, pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan terbaru isu sensitif seperti kalimah 'Allah'.
Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak, berkata sentimen menyokong kaum sendiri sentiasa wujud dalam pilihan raya umum sebelum ini, namun ia tidak begitu menyerlah.
Bagaimanapun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, isu sensitif terutamanya isu kalimah 'Allah' benar-benar memberi kesan kepada pengundi khususnya kepada pengundi Melayu.

"Senario ini sebenarnya amat tidak sihat, kerana ia akan menyebabkan ketegangan kaum yang semakin ketara. Namun, beberapa pemimpin politik berterusan mainkan isu sensitif dan tidak menghormati kaum lain.
"Oleh itu pada PRU-13 ini, pengundi atas pagar dilihat akan menilai semula berdasarkan isu-isu ini, jadi kita akan melihat polarisasi kaum yang ketara kali ini. Kepada penyokong tegar, ia tiada masalah," katanya yang ditukil Sinar Harian.
Katanya lagi, pada PRU-13, parti yang paling terkesan adalah Parti Islam SeMalaysia (PAS) kerana isu kalimah 'Allah', iaitu pemimpin-pemimpin dalam Pakatan Rakyat (PR) bercanggah pendapat.
"Adakah ahli-ahli PAS ikut pemimpin mereka atau tidak? Adakah ahli PAS akan menyokong DAP dan PKR? Persoalan ini akan dijawab pada PRU-13. Di dalam PAS sudah berpecah dua kerana isu ini," katanya.
Selain itu, Dr Mustafa turut menegaskan bahawa parti komponen Barisan Nasional (BN), terutamanya Persatuan Cina Malaysia (MCA), Kongres India Malaysia (MIC) dan Gerakan masih belum cukup kuat mengembalikan semula sokongan kaum bukan Melayu.
"Kaum Cina majoritinya akan pergi kepada PR kerana DAP. Mereka tidak melihat BN boleh menjaga kepentingan mereka lagi. Ia menambahkan lagi polarisasi undi.
"Kita akan lihat sekali lagi undi kaum Cina pergi ke DAP, seperti PRU-12 dan Pilihan Raya Negeri Sarawak lalu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas saranan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu calon BN disokong pada PRU-13 tidak kira calon itu bukan Melayu.
Pensyarah Geopolitik Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Fuad Mohd Jali, turut berpandangan PRU-13 nanti sebagai 'unik'.
Katanya, pengundi terutamanya majoriti kaum Cina secara jelas menyokong parti DAP dan tidak menyokong parti lain walaupun daripada MCA dan Gerakan.
"Sama juga halnya kepada orang Melayu. Orang Melayu sudah tidak percayakan DAP lagi kerana isu kalimah Allah dan beberapa isu lain yang menyakiti hati dan perasaan orang Melayu.
"Namun, undi kaum Melayu berpecah tiga - Umno, PAS dan PKR. Jadi terpulang kepada orang Melayu. Apa yang saya lihat, majoriti orang Melayu akan pergi kepada Umno," katanya.
Ditanya pihak mana yang paling beruntung kerana polarisasi undi ini, Dr Fuad menegaskan ia mengikut kawasan dan berbeza antara satu dengan lain.