Thursday, February 21, 2013

Saudi lantik anggota wanita pertama dalam Majlis Syura


Raja Arab Saudi, Raja Abdullah, kelmarin melantik anggota wanita pertama dalam Majlis Syura
anggota wanita pertama
PELANTIKAN BERSEJARAH: Anggota wanita Majlis Syura tiba di istana di Riyadh bagi upacara mengangkat sumpah kelmarin. - Foto REUTERS

RIYADH: Raja Arab Saudi, Raja Abdullah, kelmarin melantik anggota wanita pertama dalam Majlis Syura negara itu, yang memainkan peranan memberi nasihat sebelum undang-undang baru dikenalkan.
Langkah itu dikatakan telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan golongan ulama konservatif negara itu.
Raja Abdullah, yang sebelum ini jarang kelihatan di kaca televisyen sejak menjalani pembedahan belakang badannya November lalu, dipapar sebagai mengetuai majlis angkat sumpah anggota Majlis Syura di istana diraja itu.
Beliau turut memberikan ucapan ringkas kepada anggota wanita yang dilantik itu dengan berkata:

"Tempat anda di dalam Majlis Syura bukannya seperti golongan yang diberi penghormatan, tetapi mereka yang telah diamanahkan tanggungjawab, memandangkan anda mewakili sebahagian daripada masyarakat."
Sebelum itu, Raja Abdullah dilihat secara berhati-hati cuba meluaskan peranan wanita dalam masyarakat Arab Saudi.
Satu perlima daripada anggota baru Majlis Syura terdiri daripada kaum wanita.
Keputusan melantik anggota wanita dalam majlis itu, yang fungsinya serupa dengan dewan Parlimen, diumumkan pada 2011.
Namun, senarai nama anggota wanita yang baru itu hanya diumumkan bulan lalu.
Majlis Syura dilaporkan sedang dalam proses mengubah suai dewan perhimpunannya bagi memastikan anggota berlainan jantina duduk berasingan.
Kerajaan Arab Saudi dilantik sepenuhnya oleh Raja negara itu, yang juga memegang jawatan sebagai Perdana Menteri.
Negara itu hanya menjalankan pilihan raya bagi kerusi majlis perbandaran, yang tidak mempunyai banyak kuasa.
Kaum wanita juga mempunyak hak mengundi dan bertanding dalam pilihan raya majlis perbandaran akan datang, kata Raja Abdullah pada 2011.
Bulan lalu, keputusan melantik anggota wanita dalam Majlis Shura telah mencetuskan bantahan berpuluh-puluh ulama konservatif di negara itu.
Mereka mengadu langkah itu dan pembaharuan lain yang dikenalkan pemimpin negara itu yang bertujuan memudahkan kaum wanita keluar bekerja melanggar undang-undang Syariah.
Di Arab Saudi, kaum wanita dilarang memandu kenderaan dan perlu ditemani mahram untuk keluar bekerja, berjalan ke luar negara atau membuka akaun bank. - Reuters.