Wednesday, February 20, 2013

Sultan setuju Selangor bubar Dewan Undangan Negeri (DUN) awal


Sultan Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) lebih awal dan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13)
SHAH ALAM 20 FEB: Sultan Selangor hari ini bersetuju dan menyokong hasrat Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) lebih awal dan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) berasingan tanpa menunggu mandat lima tahun berakhir.
Perkara itu dinyatakan Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika Khalid menghadap Baginda pagi tadi.
Menurut Khalid, Baginda menyerahkan urusan pembubaran itu sepenuhnya kepada beliau asalkan ia dilakukan secara tertib dan teratur.
“Saya mengikut sahaja titah Tuanku yang membenarkan saya membuat pembubaran DUN awal,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, hari ini.
“Kenapa Tuanku nak buat secara teratur dan tertib, supaya tidak ada pihak yang mengatakan Selangor jalankan pilihan raya awal tapi melakukannya secara tidak betul,” jelas Khalid.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim
Khalid berkata, Baginda turut bertitah, tarikh pembubaran DUN yang ditentukan Menteri Besar perlu dibuat dalam keadaan dan cara yang lebih teratur.
“Saya dah janji dengan Sultan, saya mengikut titah Tuanku supaya tak payah umumkan (tarikh). Setakat ini kita merahsiakan tarikhnya,” kata Khalid.
Ditanya adakah pembubaran DUN dibuat hujung bulan ini, setelah perayaan Chap Goh Mei berlalu, Khalid hanya ketawa dan berkata: “Tunggulah…”.
Ditanya lagi apa faedah diperolehi rakyat jika pilihan raya dijalankan berasingan, ini jawapan Khalid: “Sudah tentu rakyat Selangor gembira jika PRU berlaku lebih awal”.
“Bagaimanapun saya tiada halangan untuk mengadakan pilihan raya DUN Selangor serentak dengan PRU 13,” kata Khalid.
Perkembangan ini pasti mencemaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sehingga kini bertangguh untuk membubarkan Parlimen walaupun tempoh mandat Kerajaan Pusat berbuat demikian berakhir 28 April ini.
Ini pertama kali sebuah negeri di Semenanjung mengumumkan tarikh pilihan raya negeri secara bersendirian dan lebih awal dari Kerajaan Persekutuan.
Selangor juga akan menjadi negeri pertama di Semenanjung mengadakan pilihan raya negeri secara berasingan dengan persekutuan.