Monday, March 11, 2013

5 sekolah di Lahad Datu, 49 di Semporna dibuka semula

Lima puluh empat sekolah -- lima di Lahad Datu dan 49 di Semporna -- dibuka semula hari ini selepas polis mengesahkan keadaan di kawasan itu adalah selamat dan terkawal.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Supt Shamsuddin Mat berkata lima sekolah yang dibuka di Lahad Datu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Tambisan, SK Sahabat 16, SK Sahabat 4, SK Cenderawasih dan Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Kencana.

"Hanya tiga sekolah di Lahad Datu yang belum dibuka iaitu SK Lok Buani, SK Fajar Harapan dan SK Tanjung Labian kerana berada dalam kawasan zon merah," katanya ketika dihubungi Bernama di Lahad Datu.

Tinjauan Bernama di SK Sahabat 4 di sini mendapati kehadiran pelajar terlalu sedikit berikutan ada ibu bapa tidak mengetahui bahawa sekolah telah dibuka semula.

"Kira-kira 80 murid dan 10 guru hadir hari ini," kata Penolong Kanan 1 SK Sahabat 4 Mohamad Ostad Ulang dan memberitahu sekolah itu mempunyai 373 murid dan 29 guru.

Di SEMPORNA, keadaan sama berlaku di SK Simunul apabila hanya kira-kira 200 murid hadir pada sesi pagi hari ini.


Guru Besar sekolah Sarudah Arun berkata SK Simunul yang melaksanakan persekolahan dua sesi mempunyai 1,321 murid.

Sekolah itu ditutup 4 Mac berikutan kejadian serangan hendap di Kampung Simunul 2 Mac lepas yang mengorbankan enam anggota polis dan enam penceroboh militan.

Sarudah berkata ekoran insiden itu 30 daripada 81 guru memohon cuti berganti untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

-Bernama