Sunday, March 17, 2013

Amerika perkukuh pertahanan hadapi serangan peluru berpandu Korea Utara


Pentagon belanja $1b tambah pesawat pemintas
Amerika kukuh pertahanan hadapi serangan peluru berpandu Korea Utara
WASHINGTON: Amerika Syarikat kelmarin mengumumkan akan mengukuhkan pertahanan bagi menghadapi kemungkinan serangan peluru berpandu Korea Utara, seminggu setelah Pyongyang mengancam menyerang musuh ketatnya itu terlebih dahulu.
Setiausaha Pertahanan, Encik Chuck Hagel, berkata 14 kapal terbang pemintas tambahan akan ditempatkan di Alaska, menambah hampir separuh jumlah kapal terbang pemintas yang sudah pun dikerahkan ke kawasan pantai California dan Alaska.
Menurut Pentagon, ia akan membelanjakan AS$1 bilion untuk menambah kapal terbang pemintas itu.
Korea Utara mengancam memulakan Perang Korea kedua - dengan disokong senjata nuklear - sebagai tindak balas terhadap latihan ketenteraan bersama antara Korea Selatan dan Amerika serta sekatan lebih ketat yang dikenakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) setelah Pyongyang melakukan ujian nuklear ketiganya Februari lalu.

Sedang ketegangan meningkat, Korea Utara melancarkan peluru berpandu jarak dekat ke Laut Timur kelmarin setelah pemimpin negara itu, Encik Kim Jong-Un, menyaksikan latihan menembak peluru hidup dekat sempadan Laut Kuning yang dipertikaikan dengan Korea Selatan, lapor agensi berita Yonhap.
Menurut Encik Hagel, pengukuhan pertahanan itu direka "mendahului ancaman" daripada rejim Korea Utara, yang mendakwa ia mempunyai misil yang mampu membawa kepala ledakan nuklear sehingga ke benua Amerika.
"Amerika mempunyai sistem pertahanan mampu melindunginya daripada serangan peluru berpandu balistik antara benua yang terhad.
"Tetapi Korea Utara, khususnya, telah membuat kemajuan dalam keupayaannya dan kini melakukan siri provokasi tidak bertanggungjawab dan tidak menghiraukan akibatnya," kata Encik Hagel.
Selain mengerahkan kapal terbang pemintas tambahan ke Fort Greely, Alaska, Encik Hagel turut mengesahkan pengumuman yang dibuat tahun lalu bahawa Amerika merancang mengerahkan radar canggih kedua ke Jepun.
Program pertahanan peluru berpandu Amerika telah dibelenggu masalah teknikal tetapi Encik Hagel memberi jaminan bahawa "kapal terbang pemintas adalah berkesan" dan matlamatnya adalah mengerahkan kapal terbang pemintas baru menjelang tahun 2017.
Walaupun ancaman Korea Utara sering dilihat sebagai gertakan sahaja, Amerika dan sekutunya bimbang Pyongyang bersedia memulakan provokasi ketenteraan. - AFP.