Thursday, March 28, 2013

Gendang Perang Pru-13 semakin kuat: Najib jumpa Pengerusi BN negeri bincang senarai calon pru-13


Datuk Seri Najib Tun Razak pru-13
PUTRAJAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini bertemu beberapa pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri di pejabatnya di Kompleks Perdana Putra di sini, meningkatkan lagi bahang spekulasi pilihan raya umum ke-13 semakin hampir.
Perjumpaan itu dipercayai membincangkan senarai calon BN yang akan bertanding di setiap negeri dan persiapan mutakhir mereka.
Kelihatan memasuki perkarangan kompleks itu ialah Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman; Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir; dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar dan anggota Parlimen Sepang Datuk Seri Mohd. Zin Mohamed yang juga Timbalan Pengarah Pilihan Raya BN Selangor juga dilihat hadir.
Turut sama ialah Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. - Bernama