Monday, March 18, 2013

Isu Kapal Selam Scorpene: Mayat Peguam Perancis Olivier Metzner ditemui terapung di laut

Peguam Perancis Olivier Metzner
Peguam Perancis Olivier Metzner, yang mewakili firma pertahanan DCNS dalam satu inkuiri kehakiman, ditemui mati dalam satu kejadian didakwa sebagai kes bunuh diri.

Inkuiri kehakiman itu dimulakan oleh NGO hak asasi Malaysia, Suaram.

Mayat Metzner ditemui terapung di lautan berhampiran pulau peribadinya di Brittany, barat laut Perancis. Polis menemui satu nota bunuh diri.

Reputasi Metzner terserlah melalui anak guamnya yang terdiri dari golongan ternama seperti bekas diktator Panama Manuel Noriega dan bekas perdana menteri Perancis Dominique de Villepin serta Continental Airlines berhubung kejadian pesawat Concorde yang terhempas pada tahun 2000.



Bloomberg melaporkan, Metzner memulakan kerjayanya dengan mewakili anggota gengster dan menjadi popular kerana berjaya membebaskan anak guamnya atas alasan teknikal.

Pada tahun 1980-an, beliau memperkembangkan kepakaran dalam perundangan kewangan dan mewakili ahli perniagaan dan pemimpin politik yang terlibat dalam kes pembiayaan parti.

Metzner juga mewwakili kepentingan DCNS – syarikat yang menjual dua buah kapal selam Scorpene kepada Malaysia, 10 tahun lalu.

Suaram memfailkan inkuiri kehakiman di mahkamah Perancis pada 2009 mengenai kemungkinan berlakunya rasuah dalam urusniaga Scorpene.