Wednesday, March 6, 2013

Media Filipina beri ruang kepada Anwar perjelas tuduhan Umno


Philippine Inquirer Anwar Ibrahim
Media Filipina memberi ruang penuh kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan tuduhan kerajaan Malaysia mengaitkan beliau dalam isu pencerobohan Lahad Datu.
Tawaran itu dinyatakan mediaPhilippine Inquirer yang menghubungi Ketua Umum KEADILAN itu kelmarin, bagi mengatur sesi wawancara.
Perkara itu dimaklumkan Anwar pada Ceramah Jelajah Merdeka Rakyat di Padang Kampung Tasek Tambahan, Ampang, malam tadi.
“Akhbar Filipina semalam (kelmarin) telefon saya. Dia kata oleh kerana kami disalah tafsir, diperalatkan untuk buat fitnah di Malaysia, kami bagi ruang penuh kepada saudara untuk cakap di surat khabar, dan radio – Philippine Radyo Inquirer untuk 40 minit jelaskan keadaan sebenar.

“Itu media bebas…Dia bagi kenyataan yang mungkin sedikit menimbulkan kekeliruan, tapi (mereka) terus bagi ruang kepada saya untuk jelaskan keadaan sebenar.
“(Ini fitnah) TV3Utusan…sebab itu saya saman,” katanya disambut sorakan lebih 10,000 rakyat pelbagai kaum.
Anwar berkata, beliau mengetahui akan ada tohmah besar ke atasnya menjelang pilihan raya.
“Bila (saya) balik kampung (Permatang Pauh), (saya) diberitahu dekat pilihan raya akan keluar lagi (fitnah).
“Fitnah tuduh (saya) agen Sulu, siapa sangka.
“Tapi orang dah tahu…Takkan seorang Anwar Ibrahim boleh jadi (macam-macam) agen. Memang saya genius,” katanya.
“Saya boleh jadi (agen) Rusia, Al Qaeda, Amerika, Israel, Turki, kemudian dari Sabah ke Sultan Sulu, semua saya, hebat sungguh…,” sinis Anwar berhubung tuduhan Umno.
Turut berceramah, Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lembah Jaya, Ahmad Kassim; Adun Teratai; Jenice Lee; Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.
Selain itu, Pengerusi Majlis Perundingan Keselamatan Tentera KEADILAN, Brig Jen (B) Datuk Abdul Hadi Abdul Khatab dan pemberi maklumat skandal Pusat Feedlot Kebangsaan (NFC), Datuk Shamsubahrin Ismail.
Anwar memfailkan saman terhadap akhbar milik Umno, Utusan Malaysia dan stesen TV3 kerana mengaitkan beliau dengan pencerobohan tentera kesultanan Sulu di Sabah.
Menurut Anwar, Philippine Inquirer hanya memetik sumber risikan Filipina yang mendakwa beliau ada bertemu dengan pemimpin Sulu, namun mereka tidak menuduhnya terlibat mendalangi pencerobohan di Lahad Datu.
Laporan Utusan pada muka hadapannya bertarikh 2 Mac bertajuk ‘Ketua Pembangkang dikaitkan dengan pencerobohan?’ dan satu lagi laporan di muka 10 akhbar itu bertajuk ‘Tiga kumpulan jadi dalang’.
TV3 juga mengguna istilah dalang mengaitkan Anwar dalam insiden tersebut.
Anwar menuntut kedua-dua media itu menarik balik tuduhan, memohon maaf secara terbuka dan menuntut ganti rugi, masing-masing berjumlah RM100 juta.