Tuesday, March 19, 2013

Pembangunan Terancang Kerajaan Pakatan Rakyat Demi Rakyat


DEMI kejayaan masa depan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang harus melabur dalam masa depan agar anak-anak kita tidak akan menjadi generasi kesesakan lalu lintas.

Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Lim Guan Eng
Saya merujuk kepada dakwaan mengelirukan oleh sesetengah NGO dan BN yang menentang cadangan tiga projek lebuhraya dan satu terowong laluan penghubung ketiga yang dianugerahkan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang melalui tender terbuka yang kompetitif pada harga RM6.3 bilion.

Saya harap agar anda akan memberi peluang kepada kerajaan negeri untuk menjelaskan rasional di sebalik usaha “terdesak” untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas dalam kawasan pulau serta memudahkan aliran lalu lintas di kawasan Seberang Perai.

Saya menggunakan perkataan “terdesak” kerana dalam lima tahun pentadbiran kerajaan negeri PR, kami telah mencuba untuk melaksanakan sistem pengangkutan awam di Pulau Pinang. Pada mulanya, kami bersetuju dengan cadangan kerajaan Persekutuan untuk membina monorel yang ditinggikan walaupun kami berasa bahawa sistem trem adalah paling sesuai untuk Pulau Pinang kerana George Town adalah Bandar Warisan Dunia UNESCO.
Teruskan membaca surat terbuka dari Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Lim Guan Eng kepada rakyat Pulau Pinang.

Setiap tahun semasa proses merangka belanjawan Persekutuan, kami selalu memasukkan cadangan monorel ke dalam “senarai idaman” tetapi tidak pernah mendapat maklum balas yang positif. Kerana terdesak, kami mengambil pendekatan di luar kotak dengan membayar Rapid Penang untuk menyediakan perkhidmatan bas percuma di perkarangan bandar warisan George Town – dan usaha ini telah diterima baik. Kami telah melanjutkan program ini dengan perkhidmatan bas ulang-alik percuma dari Seberang Perai ke Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas ke Balik Pulau pada waktu puncak. Program ini semuanya dibayar oleh kerajaan negeri.

Kerajaan Persekutuan juga enggan memberi maklum balas apabila kami mencadangkan agar pihak berkuasa tempatan mengoperasikan perkhidmatan bas sendiri. Sebagai usaha terakhir, kami menawar untuk membayar RM10 juta kepada kerajaan Persekutuan untuk perkhidmatan bas percuma di seluruh negeri Pulau Pinang ketika waktu puncak. Cadangan ini juga telah ditolak begitu saja.

Walaupun kami lebih suka pilihan pengangkutan awam, hakikatnya adalah pengangkutan awam dalam apa sahaja bentuk merupakan prerogatif di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan semata-mata. Meskipun dibiayai oleh kerajaan negeri, tidak ada apa-apa yang boleh dilakukan tanpa kelulusan kerajaan Persekutuan. Oleh itu, tindakan mengulang saranan untuk melabur dalam pengangkutan awam adalah sama dengan tindakan menulis di atas air.

Memandangkan kerajaan Persekutuan berazam untuk mencekik jalan raya kita, kerajaan negeri Pulau Pinang mengambil keputusan untuk bertindak dengan tegas. Kami tidak boleh duduk berdiam sahaja. Oleh itu, kami mengambil keputusan untuk memperluaskan rangkaian jalan raya dengan membina jalan alternatif di kawasan yang paling sesak. Pada masa yang sama, Seberang Perai akan dihubungkan ke Pulau untuk merapatkan jurang antara kedua-dua kawasan terbabit serta memastikan bahawa Seberang Perai Utara tidak akan ketinggalan dalam pertumbuhan ekonomi.

Biar rakyat yang menentukan

Kerajaan negeri PR Pulau Pinang akan mendengar dan berserah kepada kehendak 1.6 juta rakyat Pulau Pinang. Oleh itu, kerajaan negeri mengambil langkah yang tidak pernah dibuat sebelum ini dengan membabitkan pihak awam dan masyarakat sivil sejak projek ini mula dicadangkan pada 2011. Ia tidak dilakukan dengan tergesa-gesa. Proses rundingan awam dengan rakyat masih lagi diteruskan.

Projek yang diumumkan pada 2011 apabila tender dipanggil ini terdiri daripada sebuah terowong bawah laut sepanjang 6.5km yang menghubungkan Gurney Drive ke Bagan Ajam, jalan raya berkembar 12km dari Tanjung Bungah ke Teluk Bahang, jalan pintas 4.2km yang menghubungkan Gurney Drive ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dan jalan pintas 4.6km yang menghubungkan Lebuhraya tersebut ke Bandar Baru Air Itam.

Kerajaan negeri telah menganugerahkan tender itu kepada Consortium Zenith BUCG, sebuah syarikat kegunaan khas yang ditubuhkan sebagai usahasama di antara syarikat tempatan Construction Zenith, China Railway Construction Corporation Ltd (CRCC) bersama Beijing Urban Construction Group, Sri Tinggi Sdn Bhd serta Juteras Sdn Bhd. Beijing Urban Construction Group adalah sebuah syarikat pembinaan utama dari negara China yang telah membina Stadium Olimpik “Sarang Burung” Beijing, dan CRCC telah membina kebanyakan daripada landasan kereta api di China termasuk landasan kereta api yang tertinggi ke Tibet. Semua syarikat ini bukan syarikat RM2 seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Tidak kepada monorel, ya kepada trem

Sekiranya PR memenangi kuasa di Putrajaya, PR akan cadangkan sistem trem di seluruh negeri untuk menghubungkan Pulau dan Seberang Perai. Monorel yang dicadangkan BN adalah tidak sesuai untuk bandar warisan dunia seperti Pulau Pinang, dan strukturnya yang ditinggikan akan merosakkan keindahan Pulau Pinang. Kerana sistem trem yang bergerak atas tanah adalah sesuai dengan warisan Pulau Pinang, jalan alternatif baru diperlukan supaya jalan sedia ada dapat digunakan untuk landasan trem.

Projek monorel BN tidak akan menjadi kenyataan walaupun BN menang di Pulau Pinang atas dua sebab. Pertama, monorel tidak akan diizinkan oleh UNESCO dan pembinaannya akan mengakibatkan kehilangan taraf Bandar Warisan Dunia UNESCO. Kedua, BN tidak pernah menepati janji monorel yang dulu dibuat oleh mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2006. Janji ini tidak ditepati juga oleh Datuk Seri Najib Razak apabila beliau menjadi Perdana Menteri. Jelas, kita harus menunggu sehingga Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri untuk merealisasikan sistem trem.

Tidak kepada caj kemasukan ke George Town, Pulau Pinang

Saya ingin menafikan dengan tegas dakwaan liar bahawa keempat-empat projek naiktaraf jalan raya ini tidak termasuk dalam Pelan Induk Pengangkutan Awam (PTM). Sebenarnya, perbezaan hanya dalam isu masa. PTM mencadangkan persiapan terowong menjelang tahun 2025-2030 sementara kerajaan negeri ingin membawanya ke depan ke tahun 2023, iaitu perbezaan dua tahun sahaja. Tempoh 20 tahun yang diperlukan untuk membina terowong penghubung ketiga ini adalah untuk memenuhi semua keperluan kebolehlaksanaan dan keselamatan termasuk perlindungan alam sekitar. Sekiranya syarat keselamatan alam sekitar tidak dipatuhi, maka projek itu tidak akan diteruskan.

PR dengan tegas menolak cadangan ekstrim untuk mengenakan caj kemasukan bagi semua kenderaan yang memasuki George Town, Pulau Pinang kerana PR komited kepada pergerakan bebas orang dalam dan dari luar negeri Pulau Pinang. Pengamalan “model Singapura” ini untuk mengurangkan kesesakan trafik adalah elitis kerana menghadkan George Town kepada penghuni sedia ada dan bersifat diskriminasi kerana memastikan hanya orang yang berada dapat memasuki George Town, Pulau Pinang.

Kerajaan Persekutuan sedar mengenai cadangan projek ini sejak April 2011 apabila kedua-dua Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Premier China Wen Jia Bao telah menjadi saksi kepada pertukaran Memorandum Persefahaman yang dihadiri saya di Kuala Lumpur untuk 4 projek lebuhraya dan terowong. Tender terbuka telah dipanggil pada 14 November 2011 dan rundingan awam dilakukan pada 2011 untuk memaklumkan rakyat mengenai projek berkenaan.

Penilaian dan cadangan untuk pemenang tender itu telah dilakukan oleh dua jawatankuasa yang diterajui Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mokhtar Mohd Jait tanpa pembabitan Ketua Menteri. Seluruh proses tender dijalankan dengan telus dan bertanggungjawab.

Daripada 24 peserta, hanya satu menentang, 9 sokong sementara yang lain ingin maklumat tambahan

Bagaimana mungkin ia dikatakan bahawa keempat-empat projek ini akan dilakukan dalam masa yang singkat apabila projek lebuhraya pertama hanya akan siap selepas 2017 dan terowong bawah laut menjelang 2023-25? Masa pembinaan yang lama diperlukan untuk memastikan pematuhan kepada keperluan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA). Kegagalan mematuhi EIA akan bermaksud bahawa empat projek itu tidak akan diteruskan.

Kontrak rasmi masih lagi diperbincangkan dan dijangka akan ditandatangani dalam beberapa bulan yang akan datang selepas pilihan raya dan tidak akan diteruskan jika ditolak rakyat. Input daripada rundingan awam dan sesi perbincangan “town hall” akan membantu kerajaan negeri untuk memperhaluskan lagi kedudukan apabila kontrak dimeterai dalam beberapa bulan yang akan datang.

Kerajaan negeri menerima baik apabila dalam sesi “town hall” pada 10 Mac 2013, daripada 24 orang yang memberi pandangan hanya seorang yang menentang. Sembilan menyokong manakala 14 yang lain ingin maklumat tambahan. Apa yang perlu diberi perhatian adalah bahawa peserta muda menyokong projek yang dicadangkan dengan sepenuh hati kerana mereka tidak mahu terperangkap dalam kesesakan lalu lintas buat seumur hidup mereka.

Kerajaan negeri Pulau Pinang berazam untuk memastikan kejayaan masa depan dengan melabur dalam masa depan supaya anak muda kita tidak akan menjadi generasi kesesakan lalu lintas.

Bolehkah Teng Chang Yeow menjelaskan kenapa BN menjual tanah 940 ekar di Tanjung Pinang dengan harga RM1 sekaki persegi?

Tambahan pula, harga terakhir tender bukanlah RM8 bilion tetapi RM6.3 yang dianugerahkan kepada pembida terendah, iaitu Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd. Bayaran akan dibuat bukan dengan wang tunai tetapi dalam bentuk 110 ekar tanah tebusguna di Tanjung Pinang. Tanah tebusguna ini diluluskan kerajaan negeri BN terdahulu, sepertimana mantan Ketua Menteri Pulau Pinang Tan Sri Dr Koh Tsu Koon telah menyokong projek separuh terowong dari Tanjung Bungah ke Butterworth.

Dakwaan Teng bahawa tanah tebusguna itu tidak wujud adalah fitnah kerana BN yang meluluskan penambakan tanah 940 ekar dengan harga mengejut RM1 sekaki persegi dengan syarat 10% tanah diberi kepada kerajaan negeri. Bolehkah Teng menjelaskan kenapa BN telah menjual tanah tersebut dengan harga yang begitu murah dan tidak masuk akal, iaitu RM1 sekaki persegi? Kerajaan negeri PR Pulau Pinang telah berjaya meningkatkan jumlah tanah yang akan diberi kepada negeri daripada 10% kepada 20%, yang akan digunakan untuk membiayai pembinaan empat lebuh raya utama ini.

Kesesakan lalu lintas yang teruk dua minggu lepas pada Jambatan Pulau Pinang Pertama akibat kerja pembaikan telah mengingatkan kita semua betapa perlunya laluan penghubung ketiga untuk masa depan. Sementara tiga lebuhraya baru yang akan mengurangkan kesesakan lalu lintas ke Batu Ferringhi, di sekitar George Town serta Bandar Baru Air Itam dan Farlim adalah berdasarkan keperluan, terowong bawah laut ini mempunyai fungsi lain iaitu untuk merangsangkan pembangunan ekonomi Seberang Perai Utara (SPU).

Kerajaan negeri Pulau Pinang tidak akan duduk berdiam dalam isu kesesakan lalu lintas dan mengambil jalan senang dengan menyalahkan kerajaan Persekutuan atas kegagalannya menyediakan pengangkutan awam. Kita juga tidak akan mengamalkan pendekatan yang berkisar pada Pulau semata-mata, sebaliknya akan mengambil pendekatan menyeluruh yang merangkumi keperluan Seberang Perai. Jika ada jambatan yang menghubungkan Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan, patut ada juga penghubung kepada SPU untuk memajukan pembangunan ekonomi.