Friday, March 15, 2013

Penyiasat persendirian P Balasubramaniam (PI Bala) meninggal dunia


Penyiasat persendirian P Balasubramaniam (PI Bala) meninggal dunia
SUNGAI BULOH 15 MAC: Penyiasat persendirian, P Balasubramaniam (PI Bala) yang terlibat dalam pendedahan kontroversi pembunuhan kejam wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu meninggal dunia hari ini
Kematian itu disahkan Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa dalam twitter.
Beliau memaklumkan, Bala menghembuskan nafas terakhir dalam ambulan ketika dalam perjalanan dari Rawang ke Hospital Sungai Buloh.
Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Bala.
“Takziah kepada keluarga,” kata Anwar di twitter.

Bala yang sebelum ini mengaitkan Datuk Seri Najib Razak dengan pembunuhan Altantuya, dimasukkan ke hospital kerana masalah jantung.
Beliau dimasukkan ke Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) pada 5 Mac lalu, sehari sebelum dijadual berucap di ceramah ‘Siapa Arah Bunuh Altantuya’ di Parit Sulong, Johor.
Rabu lalu, dilaporkan tiga arteri Bala tersumbat dan separuh daripada jantung berhenti berdenyut memaksa beliau berhenti terlibat sementara dalam kempen Pakatan Rakyat menjelang pilihan raya.
Bala sebelum ini berkhidmat dengan Abdul Razak Baginda, rakan rapat kepada Perdana Menteri yang menerima komisen  pembelian kapal selam Scorpene bernilai RM500 juta.
Pada Julai 2008, beliau mendedahkan akuan bersumpah (SD) mengaitkan Perdana Menteri dengan kes pembunuhan Altantuya yang dikatakan menjadi orang tengah dalam transaksi berkenaan.
Dalam SD tersebut, Bala juga mendakwa Najib pernah melakukan hubungan seks dengan Altantuya, sebelum menarik balik dakwaannya dalam akuan bersumpah kedua.
Selepas itu, beliau menghilangkan diri ke luar negara dan pulang semula ke Malaysia pada 24 Februari lepas.