Friday, March 1, 2013

PM anugerah projek keretapi KL-Singapura kepada kroni?


Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary and Datuk Seri Najib Razak
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu jelaskan perincian tender pembinaan keretapi laju menghubungkan Kuala Lumpur-Singapura kerana bidaan projek itu diragui tanpa melalui tender terbuka.
Perdana Menteri mengumumkan projek bernilai antara RM20 bilion hingga RM30 bilion itu pada 19 Februari lalu, selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.Ini berikutan laporan menyatakan kerajaan Johor dan jutawan, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary akan bersaing bagi merebut projek tersebut.

Turut bersaing merebut projek itu, YTL Corporation, syarikat milik Tan Sri Dr Yeoh Tiong Lay dan Hartasuma Sdn Bhd milik Tan Sri Ravindron Menon, Ahli Lembaga Pengarah Lebuhraya Utara Selatan (Plus).
Mengulas laporan tersebut, Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Datuk Johari Abdul mahu kerajaan bentangkan perincian proses tender itu.
“Najib perlu jelaskan sama ada tender kontrak tersebut dibuat secara terbuka atau hanya kepada kroni jemputan? Berdasarkan laporan syarikat yang bersaing, didapati ia hanya di kalangan jemputan,” katanya ketika dihubungi.
“Di sini sudah terang lagi bersuluh tender dibuka kepada kroni,” sinis Johari.
Ahli Parlimen Sungai Petani itu mempersoal pengumuman projek itu yang menurutnya dibuat tanpa perbahasan di Parlimen.
“Pengumuman dibuat secara tiba-tiba dan tak pernah dibawa sidang Parlimen. Adakah ia melibatkan wang negara atau projek persendirian? Apa kepentingan projek itu sedangkan banyak lagi prasarana negara mengalami masalah,” kata Johari.
Syed Mokhtar memiliki beberapa pelabuhan menerusi syarikatnya, MMC Corporation Bhd termasuk Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Johor.
Beliau turut memiliki saham sebanyak 22.7% dalam Malakoff Berhad iaitu syarikat pembekalan elektrik dan gas Malaysia serta 20% pegangan dalam IJM Corporation Berhad dalam sektor pembuatan.
MMC Corp ketika ini sedang bekerjasama dengan Gamuda Bhd dalam projek Mass Rapid Transit (MRT), projek keretapi terbesar di Lembah Klang dijangka siap 2017.
Syed Mokhtar juga merupakan pemilik Syarikat Gulf International Investment Group Capital (GIIG) yang mempunyai kepentingan dalam Projek Hidro Elektrik Bakun.
Menerusi syarikat DRB-Hicom Bhd (DRB) miliknya, beliau membeli syarikat kereta Lotus dari Proton Holding Bhd pada harga RM1.29 bilion selain memiliki 32.21% saham dalam Pos Malaysia Bhd.
Demi Rakyat Malaysia Yang Lebih Cemerlang