Monday, March 4, 2013

Rakyat sibuk pasal penceroboh di Lahad Datu, SPR sibuk dok menipu


Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim
Dalam rakyat sibuk isu pencerobohan askar Sultan Sulu di Lahad Datu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula tidak habis-habis dengan agenda menipu daftar pemilih.
Projek Pendemokrasian Selangor mendapati ada kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) mempunyai jumlah pengundi lebih ramai dari penduduk.
Ini sekaligus menguatkan dakwaan terdapat keraguan di dalam daftar pemilih yang akan digunakan di dalam pilihan raya akan datang.
Semakan Kerajaan Selangor di Bestari Jaya Utara contohnya, mendapati kawasan yang mempunyai penduduk seramai 1,788 itu mempunyai pengundi seramai 3,589 orang.

Kawasan Ijok pula yang diwakili Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, turut mencatatkan penambahan seramai 721 pengundi baru yang tidak dapat dikenalpasti.
Pendedahan ini dibuat Khalid pada Persidangan Antarabangsa Pilihan Raya Umum Malaysia  ke-13 di sini, hari ini.
“Kerajaan negeri mengambil berat hak demokrasi rakyat negeri ini. Sebab itulah kerajaan negeri mengambil langkah mengenal pasti pengundi di Selangor bagi memastikan hak rakyat menentukan kerajaan,” katanya dipetikMediaSelangorku.
Laporan sama turut menunjukkan sehingga suku tahun keempat 2012, terdapat 497,084 pemilih baru di Selangor dari jumlah 1,924,281 pemilih berdaftar.
Daripada 497,084 pemilih baru yang disemak itu pula, 134,675 atau 28 peratus darinya tidak dapat dikenal pasti.
Menurut Khalid, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mengendahkan gesaan kerajaan negeri untuk mengenalpasti lebih 134,000 pengundi ragu itu.
Hadir sama persidangan itu, Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Adun Batu Buruk, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi; Ketua Cabang Kelana Jaya, Syed Shahir Mohamud dan Penyelaras Hal Ehwal Parlimen Pejabat Ketua Pembangkang, Abd Malek Hussin.