Pilihan raya kecil N25 Kajang. Kita semua perlukan Anwar Ibrahim ~ Sofi, Kerajaan Rakyat

Saturday, March 9, 2013

Seorang lagi amah Indonesia di Saudi jadi jutawan


amah Indonesia di Saudi jadi jutawan
JEDDAH: Seorang lagi wanita Indonesia yang datang ke Arab Saudi untuk bekerja sebagai pembantu rumah dilaporkan menjadi jutawan selepas mewarisi harta kekayaan daripada arwah suami, yang sebelum itu merupakan majikannya.
Minggu lalu, wanita berkenaan, 45 tahun, yang menetap di Riyadh telah menerima 5 juta riyal ($1.6 juta) selepas suaminya meninggal dunia beberapa bulan lalu.
Wanita itu sebelum ini telah bekerja untuk lelaki tersebut yang memiliki dan mengendalikan sejumlah besar kedai mainan di Riyadh, Al-Sogel Toys.
Mereka hidup bersama kira-kira 10 tahun sebelum suaminya meninggal dunia, kata jurucakap kedutaan Indonesia di Riyadh, Encik Shabda Thian.
Baru-baru ini, akhbar setempat telah melaporkan mengenai kisah seorang lagi pembantu rumah Indonesia yang telah menjadi jutawan apabila majikannya, yang kemudian menjadi suaminya meninggal dunia.

Wanita terbabit tiba di Arab Saudi 11 tahun lalu untuk bekerja dengan jutawan hartanah, Allahyarham Ali Ayami di Taif. Mereka berkahwin dua tahun selepas itu.
Perkahwinan mereka tidak berpanjangan kerana lelaki itu meninggal dunia dan meninggalkan beberapa bidang tanah serta bangunan apartmen di Taif.
Wanita Indonesia itu menetap di Arab Saudi sehingga beliau memperoleh harta peninggalan suaminya itu.
"Beliau sudah menerima 20 juta riyal dan menanti kira-kira 90 juta riyal lagi hasil daripada jualan harta suaminya," kata satu sumber yang enggan dikenali.
Menurut Encik Shabda, pihak kedutaan telah bekerja rapat dengan beberapa pihak, termasuk keluarga si mati, untuk menyelesaikan tuntutan harta itu.
Beliau bagaimanapun enggan menyebut nama kedua-dua wanita itu.
"Mereka menerima bahagian kekayaan suami masing-masing menerusi sistem undang-undang Syariah yang dilaksanakan di negara ini.
"Banyak lagi cerita positif mengenai tenaga kerja Indonesia di Arab Saudi, bukan setakat penderaan yang sering dilaporkan," kata Encik Shabda. - Agensi.