Monday, March 11, 2013

Thailand setuju runding damai di selatan


Yingluck Shinawatra
Yingluck Shinawatra
BERITA baik mula tersebar di Thailand baru-baru ini apabila kerajaan bersetuju mengadakan rundingan damai dengan kumpulan pemberontak utama di negara itu.
Para penganalisis politik mengatakan ini adalah satu perkembangan yang menggalakkan kerana sejak kebelakangan ini ketegangan terus meningkat di wilayah selatan negara itu.
Sejauh ini lebih 5,000 orang telah terkorban dalam pertikaian tersebut.
Mengikut laporan akhbar, perjanjian damai itu telah ditandatangani di Kuala Lumpur antara wakil kumpulan pemberontak dengan wakil kerajaan Thai.
Kalau tiada aral melintang, rundingan damai itu mungkin diadakan dalam jangka masa dua minggu lagi.
Ada di kalangan penganalisis mengatakan pengumuman yang dibuat itu adalah penting walaupun ini hanya merupakan satu usaha bagi menggerakkan rundingan peringkat awal.
Bagaimanapun, menurut mereka, ini satu keputusan yang amat menggalakkan dalam usaha mencari satu huraian yang tuntas terhadap pertikaian di selatan negeri itu.

Perlu diingat, usaha mengadakan rundingan antara agensi keselamatan Thailand dengan para pemberontak telah berakhir dengan kegagalan.
Ramai yang percaya keganasan akan berterusan.
Bagaimanapun, para pemerhati politik percaya kehadiran seorang tokoh penting daripada kumpulan pemberontak dalam pertemuan damai yang berlangsung di Kuala Lumpur minggu lalu itu memberi galakan baru kepada usaha damai itu.
Dalam pada itu, langkah pemberontak di selatan Filipina baru-baru ini supaya berdamai dengan pemerintah Filipina turut menggalakkan Thailand, sebagai anggota Asean, supaya berbuat sesuatu bagi menyelesaikan masalah pemberontakan yang membelenggunya selama beberapa dekad.
Presiden Benigno Aquino dari Filipina sejak dipilih telah mengambil langkah yang perlu bagi menjayakan usaha damai pemerintahnya kerana beliau percaya perdamaian yang berkekalan akan menguntungkan semua pihak di negara itu.
Secara kebetulan dalam rundingan damai di Filipina, negara jiran Malaysia turut memainkan peranan sebagai orang tengah dan mengambil langkah bagi mengaturkan rundingan damai antara kededua pihak yang bermusuh.
Persetujuan pada Khamis lalu berhasil dicapai selepas berlaku beberapa serangan ganas yang dilancarkan para pemberontak.
Dalam satu serangan yang gagal ke atas sebuah pangkalan tentera Thai pada Februari lalu, lebih 176 pemberontak dilaporkan terbunuh.
Ada pihak yang turut membidas serangan ganas yang dilancarkan pemberontak, kerana ia membunuh bukan saja askar keselamatan kerajaan, malah para penduduk kampung termasuk guru.
Langkah berdamai itu perlu difikirkan lagi sebagai langkah mengakhiri pemberontakan tersebut sebelum ia menjadi lebih buruk.
Bagaimanapun, menurut pemerhati, yang menjadi halangan dalam rundingan itu sekarang ialah kumpulan mana yang harus mewakili pemberontak dalam rundingan damai yang bakal diadakan nanti.
Ada beberapa kumpulan pemberontak yang terlibat dalam pertikaian dengan kerajaan Thai.
Sejak belakangan ini, semakin sukar mengenali kumpulan mana yang harus mewakili pemberontak dalam rundingan damai itu.
Sejauh ini, ada empat kumpulan pemberontak yang dikatakan bertanggungjawab melancarkan serangan ganas menentang angkatan bersenjata Thailand.
Kumpulan itu dikatakan mempunyai pandangan berbeza dalam usaha menghuraikan pertikaian itu.
Langkah yang penting sekarang ialah menentukan kumpulan mana yang benar- benar berkuasa dalam melancarkan pemberontakan terhadap kerajaan.
Ini perlu dilakukan segera supaya sebarang perjanjian damai yang ditandatangani kelak harus menyeluruh dan meninggalkan kesan positif kepada usaha damai itu.
Walaupun perjanjian damai yang dicapai nanti disifatkan sebagai suatu kejayaan penting sejak beberapa dekad ini, ada pemerhati pula berpendapat proses damai itu mungkin akan memakan masa yang lama sebelum ia dapat dilaksanakan sepenuhnya.
Ini disebabkan isu-isu yang cuba dihuraikan dalam rundingan damai itu bukan mudah diselesaikan kecuali ada rasa kepercayaan dan patriotisme terhadap satu sama lain.
Kalau pun satu perjanjian damai dapat dicapai akhir-akhir nanti, pelaksanaannya akan menghadapi pelbagai ujian.
Sebagai contoh, rundingan damai antara pemerintah Filipina dengan Pertubuhan Kebangsaan Moro telah diadakan sejak 1996 dan perjanjian damai itu hanya mampu dicapai tahun lalu.