Wednesday, March 6, 2013

Tragedi Lahad Datu: 30 ditemui terbunuh lepas pengeboman


Tragedi Lahad Datu: 30 ditemui terbunuh lepas pengeboman
Tragedi Lahad Datu: Laporan akhbar tempatan hari ini mendakwa seramai 30 orang penceroboh Sulu terbunuh dalam serangan besar-besaran melalui Ops Sulu, yang kemudiannya dinamakan Ops Daulat, di pantai timur Sabah semalam.

“Jumlah tersebut menjadikan keseluruhan pengganas Sulu yang berjaya ditumpaskan ATM dan PDRM sehingga kini ialah 49 orang, manakala di pihak anggota keselamatan negara tiada sebarang kecederaan mahupun kemalangan jiwa berlaku dalam operasi itu,” laporan Utusan Malaysia dipetik.

Laporan yang tidak menyatakan sumber maklumat itu juga menyebut, terdapat “khabar” yang menyatakan pemimpin kumpulan berkenaan Raja Muda Azzumudie terbunuh namun perkara itu tidak disahkan.

Sementara itu laporan akhbar Berita Harian pula yang memetik sumber mendakwa pasukan keselamatan yang menjalankan operasi pembersihan selepas pengeboman semalam menjumpai antara 20 hingga 30 mayat musuh.

Pasukan keselamatan yang masih belum menyatakan jumlah rasmi yang ditemui dalam operasi diketuai pasukan polis itu.

Ketua polis negara Tan Sri Ismail Omar dijangka mengumumkan perkara itu hari ini.
Kesultanan Sulu semalam menafikan laporan akhbar Malaysia bahawa Azzimudie Kiram, yang mengetuai kumpulan bersenjata di Lahad Datu terbunuh dalam operasi berkenaan.

Menurut InterAksyon.com, portal berita dalam talian saluran TV Filipina TV5, jurucakap kesultanan Abraham Idjirani telah bercakap dengan Azzimudie melalui telefon di hadapan pemberita semasa taklimat media di Manila petang semalam.

Lapan buah pesawat penggempur Malaysia semalam dilaporkan menggugurkan sekurang-kurangnya enam bom pemusnah di kawasan yang didakwa diduduki Azzimudie dan pengikutnya di Kampung Tanduo.