Saturday, March 9, 2013

Tragedi Lahad Datu: Keadaan kembali tenang di daerah terjejas


Tragedi Lahad Datu
Askar M'sia meronda kawasan Kampung Tanduo
 di Lahad Datu, Sabah. - Foto AP
LAHAD DATU: Penduduk yang berada di dalam dan sekitar kawasan Felda Sahabat meneruskan kehidupan mereka seperti sedia kala, semalam, dengan keyakinan mereka dirangsang oleh pembentukan Kawasan Keselamatan Khas Sabah (SSSA).
SSSA dibentuk bagi memastikan keselamatan penduduk di beberapa kawasan yang terjejas oleh pencerobohan sekumpulan lelaki bersenjata yang mendakwa diri mereka sebagai 'tentera diraja' Kesultanan Sulu dari selatan Filipina ke negeri di timur Malaysia itu.
Agensi berita rasmi Bernama dipetik melaporkan beberapa restoran sudah pun dibuka awal pagi semalam dan ramai penduduk di pusat bandar Felda Sahabat melakukan kerja harian mereka seperti biasa.
Suasananya juga tenang dan terkawal.

Sekali-sekala kedengaran pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terbang di ruang udara kawasan itu sejak seawal 7 pagi, tetapi tiada kedengaran sebarang letupan atau bunyi tembakan, menurut laporan Bernama.
SSSA, yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, kelmarin, merangkumi daerah Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu dan dibentuk bagi memelihara keselamatan dan kedaulatan kawasan pantai timur Sabah.
Bagi 300,000 penduduk di Lahad Datu, ia adalah jawapan bagi permintaan mereka agar diwujudkan pengawalan keselamatan yang lebih kukuh, kata laporan laman web akhbar theSundaily.
Sementara itu, akhbar The Star memetik Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, sebagai berkata bahawa lebih 50 orang ditahan kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan penceroboh bersenjata Sulu di Sabah di bawah Akta Kesalahan Keselamatan negara itu.
"Para suspek ditahan di luar kawasan operasi Op Daulat," kata beliau dalam sidang akhbar, kelmarin.