Wednesday, March 13, 2013

Utusan Melayu (M) Sdn Bhd kena saman lagi, kali ini RM10juta


Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) hari ini memfailkan saman berjumlah RM10 juta terhadap Utusan Melayu (M) Sdn Bhd
Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) hari ini memfailkan saman berjumlah RM10 juta terhadap Utusan Melayu (M) Sdn Bhd berhubung penyiaran laporan yang didakwa menghina NGO berkenaan dan juga isteri Rasulullah.

Writ saman tersebut menamakan Presiden Abim Amidi Abdul Manan sebagai plaintif, manakala Utusan Melayu (M) Sdn Bhd, Ketua Pengarang Datuk Abdul Aziz Ishak dan wartawan Lukman Ismail dinamakan sebagai defendan.

Writ saman tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kira-kira jam 9.30 pagi ini oleh peguam Abim Mohd Khairul Anwar Ismail melalui Tetuan Anwar Ismail & Associates.


Writ saman itu merujuk kepada artikel yang disiarkan di Utusan Malaysia pada 8 Februari bertajuk 'PAS Benarkan Tarian Lucah, Abim Hina Isteri Rasulullah?' di perenggan 16 dan 17.

Tulisan itu didakwa sebagai "suatu penyataan fitnah yang berniat jahat terhadap plaintif yang bertujuan untuk mengaibkan, menjatuhkan maruah serta merendahkan martabat plaintif sebagai sebuah pertubuhan Islam dan dakwah yang cukup dikenali".

Amidi dalam writ samannya berkata artikel dan penyataan tersebut merupakan satu fitnah dan berniat jahat bertujuan untuk menjatuhkan maruah dan reputasinya.

Selain itu ia juga didakwa menimbulkan kebencian dan penghinaan masyarakat umum sebagai pertubuhan Islam dan kepimpinannya serta mencari sensasi dan publisiti murahan didorong oleh kecenderungan politik dan tujuan lain.