Kita semua perlukan Anwar Ibrahim ~ Sofi, Kerajaan Rakyat

Monday, April 8, 2013

Analisa PRU-13 : Persaingan hebat dan lebih meluas dijangka

Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13)
PARLIMEN Malaysia akhirnya dibubarkan dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, di Putrajaya, kelmarin, dan setelah ia diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Kini, rakyat Malaysia boleh melangkah terus mengikuti episod seterusnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) - penamaan calon, tempoh berkempen dan akhirnya tarikh mengundi.
Yang pasti, kededua parti perikatan bakal bertanding - Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) - akan mula memperkukuhkan hujah masing-masing bagi memancing sokongan sekitar 13 juta pengundi di seluruh negara itu.
Sesetengah pengamat percaya pengundi Malaysia kini semakin matang.
Pakatan Rakyat mempunyai lebih ramai calon Melayu berbanding BN
"Ramai yang semakin menyedari isu semasa," kata pengamat politik daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah, Dr Arnold Puyok.
Mereka condong melihat ke arah dasar- dasar berbanding dengan kepopularan - atau mungkin juga kelantangan - calon- calon individu kededua parti yang bertanding.
Mereka akan melihat ke arah mutu hujahan, manifesto parti, aspirasi kehidupan masa depan dan rekod prestasi parti.
Apatah lagi sebahagian besar pengundi bagi PRU13 kini adalah mereka yang berusia antara 21 dengan 40 tahun.
Justeru, kededua BN dan PR berusaha giat menjanjikan harapan 'seberapa rasional mungkin' sebagai modal kempen untuk menarik sokongan pengundi.
Dari sudut rekod prestasi, BN satu-satunya parti perikatan yang memerintah Malaysia sejak merdeka pada 1957.
Namun, PR juga sudah memiliki rekod prestasi pentadbirannya sendiri selepas berjaya mengambil alih kuasa empat negeri - Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Kelantan - sejak Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada Mac 2008.
BN misalnya, melalui kepimpinan Datuk Seri Najib, mahu menunjukkan kepada pengundi bahawa ia kini lebih bersedia mendengar keluhan rakyat dan bersikap reformis serta terbuka dalam pendekatannya.
Sejak mengambil alih pucuk kepimpinan BN pada April 2009, Datuk Seri Najib cuba menonjolkan dirinya sebagai pemimpin yang serius dalam usaha mengukuhkan kesejahteraan dan perpaduan rakyat melalui konsep '1Malaysia' yang dipeloporinya.
Beberapa dasar transformasi beliau dalam bidang ekonomi, pentadbiran negara dan perundangan dilihat sebagai usaha bagi memulihkan semula keyakinan rakyat terhadap BN selepas PRU12.
Ini kerana pengalaman PRU12 merupaksan satu tamparan hebat kepada BN selepas ia kehilangan majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat dan penguasaan dalam lima negeri - sebelum BN merampas kembali Perak pada Februari 2009.
Justeru, BN mahu pengundi menumpukan perhatian pada Model Ekonomi Barunya (MEB), yang dianggap mampu menggandakan purata pendapatan per kapita Malaysia kepada RM49,500 setahun menjelang 2020.
Ini sebagai tambahan kepada pelbagai rancangan transformasinya bagi memperbaiki kehidupan sosial rakyat dan meningkatkan pencapaian perkhidmatan awam.
Bgaimanapun, prestasi kerajaan negeri PR di Pulau Pinang dan Selangor sejak empat tahun lalu dan berupaya memperbaiki kelakonan ekonomi, ketelusan pentadbiran negeri itu melalui pengenalan sistem tender terbuka dan telus, skim bantuan khas kepada segmen penduduk bergaji rendah dan bermasalah, serta berjaya memulihkan imbangan kewangan negeri masing-masing sudah pasti tidak terlepas daripada penilaian positif pengundi.
Tambahan, PR pula sudah mempunyai manifesto, seperti yang sedang diuar-uarkan dalam jelajah pemimpinnya ke seluruh Malaysia baru-baru ini.
Manifesto PR, antaranya, menyentuh rancangan menghapuskan unsur diskriminasi dan dasar bantuan berasaskan kaum serta memperkenalkan dasar ekonomi dan pengagihan pendapatan lebih mesra rakyat.
Mengulas, para pengamat berkata mereka menjangkakan persaingan hebat lebih meluas dalam PRU13 berbanding dengan PRU12.
Selain itu, cita rasa pengundi semakin canggih dan mahukan ketelusan, keterlibatan dan kecekapan dalam jentera pentadbiran.
Mereka juga mahu lebih banyak ruang bersuara dalam proses demokrasi negara, penghapusan rasuah serta penyalahgunaan kuasa di kalangan institusi awam.
Sebaliknya, seperti dikatakan oleh Wan Saiful Wan Jan, seorang ketua eksekutif Institut bagi Demokrasi dan Ehwal Ekonomi (Ideas), pendekatan dua parti yang bakal bertanding dalam pilihan raya kali ini masih lagi bersifat "populis".
Pengundi pula mahukan huraian jangka panjang bagi kesejahteraan negara.
Jadi, pihak mana yang mempunyai kelebihan?
Umumnya, pengamat berkata BN masih berpeluang kekal di Putrajaya, tetapi PR akan meraih lebih banyak kerusi di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Selangor, Perak, Kedah, Negeri Sembilan dan Johor diramalkan menghadapi pertandingan paling sengit, manakala Pulau Pinang dan Kelantan akan kekal bersama PR.
Kawasan yang diduduki kaum Kadazan Dusun dan Cina di Sabah pula dijangka memihak kepada pakatan pembangkang.

ANTARA TUMPUAN DUA PARTI
  • Meneruskan konsep '1Malaysia: Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan' bagi menggalak perpaduan kaum.
  • Melaksanakan dasar-dasar Model Ekonomi Baru (MEB) dengan matlamat menggandakan purata pendapatan per kapita negara kepada RM49,500, atau AS$15,000, menjelang 2020.
  • Membaiki taraf perkhidmatan awam bagi meningkatkan mutu perkhidmatan dan pendidikan serta mengurangkan jenayah.
  • Meneruskan habuan bantuan wang tunai di bawah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM500 setiap tahun kepada keluarga berpendapatan rendah jika diberi mandat.
  • Menaikkan paras gaji minimum penduduk daripada RM800 kepada RM900 sebulan.
  • Memberi ruang lebih luas kepada kegiatan politik dan demokratik melalui pembaharuan undang-undang.
  • Menghapuskan diskriminasi, menggalak perpaduan rakyat dan menggantikan dasar bantuan berasaskan kaum kepada sesuatu yang berasaskan keperluan.
  • Mengiktiraf dan meningkatkan martabat wanita dalam negara melalui Agenda Wanita Malaysia.
  • Melaksanakan dasar-dasar ekonomi bagi mewujudkan 1 juta peluang pekerjan dan meningkatkan pendapatan keluarga kepada RM4,000 sebulan.
  • Meningkatkan paras gaji minimum daripada RM800 kepada RM1,100 setiap bulan.
  • Menyemak sistem cukai Malaysia.
  • Memperkenal pendidikan tinggi percuma dan mengurangkan harga kereta.