Sunday, April 14, 2013

Bencana Pesawat Terbelah Dua: Boeing 737 terlepas landasan, 'mendarat' di laut


Boeing 737 terbelah dua
DENPASAR: Sebuah pesawat Lion Air yang membawa lebih 100 penumpang mendarat di laut ekoran terlepas landasan di lapangan terbang Bali semalam.
Bagaimanapun, semua penumpang terselamat.
Badan pesawat jenis Boeing 737 itu terbelah dua dalam kejadian yang dilaporkan berlaku sekitar 3.50 petang (waktu tempatan).
"Pesawat ini dari Bandung, Jawa Barat, dan sedang mendarat di Lapangan Terbang Ngurah Rai, Bali, tetapi ia mungkin terlepas landasan dan mendarat di laut," kata jurucakap Lion Air, Encik Edward Sirait.
Menurut beliau, pesawat itu membawa 101 penumpang dan tujuh kru.
Ia merupakan pesawat baru dan mula digunakan pada tahun lalu.
Lion Air merupakan syarikat penerbangan bajet utama di Indonesia.
Pada 2007, Lion Air merupakan antara syarikat penerbangan Indonesia yang dilarang mendarat oleh Kesatuan Eropah (EU) ekoran piawaian keselamatan yang lemah.

Larangan itu ditarik balik secara berperingkat pada 2009.
Sementara itu, Ketua Pengarah Penerbangan di Kementerian Pengangkutan, Encik Harry Bakti Gumay, berkata pesawat Lion Air itu terhempas ke laut pada ketinggian sekitar 50 meter.
Punca kemalangan itu tidak diketahui dan siasatan akan dijalankan, katanya.
Seorang wartawan agensi AFP yang berada di Denpasar pula berkata beliau nampak sekitar 10 penumpang tiba dengan ambulans di Hospital Sanglah dengan kecederaan ringan di kepala, tangan dan kaki.
Pegawai hospital berkata para mangsa yang tiba dalam keadaan basah kuyup itu turut mengalami patah tulang.
"Pesawat ini sedang ingin mendarat apabila saya nampak ia mendekati laut dan akhirnya terhempas di air. Semua penumpang panik dan mula menjerit kerana mereka takut akan lemas.
"Saya tinggalkan semua barang saya dan meluru ke pintu kecemasan. Saya keluar dari pesawat dan berenang sebelum pegawai penyelamat tiba untuk membantu saya," kata seorang penumpang, Cik Dewi, yang mengalami kecederaan ringan di kepala.
Seorang pegawai pasukan penyelamat berkata seramai 40 penumpang yang telah dikejarkan ke tiga hospital setempat untuk mendapatkan rawatan. - Agensi.