Friday, April 12, 2013

Daging babi dikesan dalam salami halal


STOCKHOLM: Daging babi dari Slovenia telah ditemui dalam daging salami bertanda halal yang dijual di Sweden, nyata Agensi Makanan Kebangsaan Sweden, kelmarin.
"Kami kini akan memberitahu Kesatuan Eropah (EU) tentang analisis kami dan mengambil tindakan susulan dengan syarikat yang menjual daging yang salah dilabel di Sweden," kata jurucakap agensi itu, Cik Louise Nyholm, dalam satu kenyataan.
"Ia adalah sesuatu yang tidak dapat diterima bagi produk dengan label halal mengandungi daging babi. Terdapat ramai orang yang langsung tidak makan daging babi, jadi ia amat penting syarikat bertanggungjawab dan mengesahkan bahawa tiada unsur penipuan bagi produk yang dijual."
Agensi itu tidak mendedahkan berapa banyak daging yang mempunyai label yang salah telah dijual atau berapa lama produk itu berada di pasaran.

Dalam Islam, binatang perlu disembelih dengan mengelar lehernya dan darahnya dibiarkan mengalir keluar daripada binatang itu.
Cara itu dilarang di Sweden kerana binatang tidak dibius semasa proses penyembelihan.
Menurut Agensi Makanan Kebangsaan Sweden, salami bertanda halal itu mengandungi sekitar 10 peratus daging babi, jauh lebih banyak daripada kadar 1 peratus yang sering dianggap sebagai pencemaran.
Menurut agensi itu, ia telah menguji 99 peratus produk makanan bagi DNA babi dan mendapati sembilan daripadanya menunjukkan hasil positif.
Daripada sembilan produk yang diuji, lapan sampel mengandungi kurang 1 peratus daging babi dan daripada lapan sampel itu tujuh mengandungi kurang 0.1 peratus daging babi.
Negara-negara Eropah telah meningkatkan kawalan makanan menyusuli skandal makanan baru-baru ini yang mengakibatkan berjuta makanan siap segera jenis beku ditarik balik daripada rak-rak pasar raya setelah ujian menunjukkan daging yang dijual sebagai daging lembu mengandungi jumlah daging kuda yang banyak. - AFP.