Friday, April 19, 2013

Pendaftaran Pertubuhan (ROS) diberi masa sehingga jam 3 petang ini


sidang media tergempar di Ibu Pejabat Kebangsaan DAP
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS – Registrar Of Societies), sebuah jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri diberi masa sehingga jam 3 petang esok (Jumaat, 19 April 2013) untuk menarik semula notisnya terhadap DAP.

Dalam sidang media tergempar di Ibu Pejabat Kebangsaan DAP malam ini, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sekali lagi mengulang desakan yang dibuatnya supaya notis yang menafikan haknya menyampaikan watikah bagi membenarkan calon menggunakan lambang Roket itu ditarik balik.

“Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan DAP mengarahkan 53 calon Parlimen dan 103 calon DUN-nya di seluruh negara untuk bertanding menggunakan logo PAS di Semenanjung dan logo PKR di Sabah dan Sarawak,” kata beliau membaca kenyataan media.

Ditanya tentang tuntutan DAP terhadap Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Guan Eng berkata bahawa tidak ada gunanya mengharap sebarang kepastian daripada pihak tersebut kerana suruhanjaya tersebut memiliki rekod yang buruk memungkiri janji yang menyebabkan proses pilihanraya tidak berjalan dengan adil, bebas dan telus.

Guan Eng berkata tindakan ROS menghantar notis terbabit 48 jam sebelum hari penamaan calon untuk PRU ke-13 adalah bermotifkan politik dan bertujuan membunuh prospek pilihanraya DAP.

“BN telah menggunakan taktik yang kotor dan memalukan untuk menghalang DAP bertanding dengan menggunakan simbol roket. Usaha terdesak BN untuk menang secara tidak terhormat ini menjadikan keseluruhan proses pilihanraya seakan satu jenaka,” ujar beliau.

Pihak ROS pagi semalam tengah mengutus surat menangguhkan siasatan terhadap DAP sehingga 9 Mei depan. Namun enam jam kemudian menghantar sebuah notis pula yang menyatakan bahawa Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP adalah tidak diiktiraf.

“DAP memohon semua pemimpin parti, ahli dan penyokong supaya bertenang dan membiarkan kemarahan terhadap taktik yang begitu memalukan itu diperlihatkan secara jelas melalui peti undi pada 5 Mei 2013,” kata Guan Eng.