Friday, April 12, 2013

PKR kekalkan semua Ahli Parlimennya di Wilayah Persekutuan


ketua de facto keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim
Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengekalkan kesemua ahli parlimennya (AP) sekarang di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dengan tambahan seorang muka baru, Datuk Tan Kee Kwong, yang akan bertanding bagi merebut kerusi Parlimen Wangsa Maju.
Pengumuman itu dibuat oleh ketua de facto parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur, malam kelmarin, sambil menggesa pengundi di sana supaya terus menyokong calon PKR bagi mengekalkan ibu kota Malaysia itu sebagai kubu pihak Pakatan Rakyat.
Pakatan Rakyat (PR), yang dibentuk oleh PKR, Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Islam SeMalaysia (PAS), menang tujuh daripada lapan kerusi persekutuan yang ditandingkan di sana pada pilihan raya umum 2008.
Nurul Izzah, yang juga anak perempuan Datuk Seri Anwar, akan mempertahankan kerusi Parlimen Lembah Pantai.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, juga akan mempertahankan kerusinya di Bandar Tun Razak.
Naib presiden PKR, Encik Chua Tian Chang atau Tian Chua, akan kekal di Batu.
Encik Ibrahim Yaakob, yang gagal merebut kerusi Parlimen Setiawangsa pada pilihan raya 2008, pula akan diberi peluang kedua merebut kerusi itu.
Datuk Seri Anwar berkata beliau yakin pengundi kawasan bandar akan menyokong PKR pada pilihan raya umum pada 5 Mei ini.