Tuesday, April 23, 2013

PRU-13: N43 Permas - Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin


Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Mohamed Khaled Nordin
DENGAN pencalonan beliau disahkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas Sabtu lalu, spekulasi semakin rancak bahawa Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bakal mengambil alih tugas Menteri Besar Johor.
Sekiranya dilantik beliau akan menggantikan Datuk Abdul Ghani Othman, yang kini bertanding di kerusi parlimen Gelang Patah menentang Penasihat DAP, Encik Lim Kit Siang.
Di bawah perlembagaan, seorang calon harus bertanding bagi kerusi DUN untuk melayakkannya menjadi Menteri Besar.
Sebelum ini, Datuk Seri Mohamed Khaled, yang menjawat Menteri Pengajian Tinggi merupakan anggota parlimen Pasir Gudang.
Namun, siapakah calon yang disebut-sebut sebagai bakal Menteri Besar Johor itu?
Menurut maklumat daripada blog peribadi beliau, Datuk Seri Mohamed Khaled dilahirkan pada 30 November 1958.
Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Tinggi Muar serta English College, Johor Bahru, dan pendidikan tinggi di Universiti Malaya dan memperolehi Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Malaya.

"Selepas tamat pengajian undang-undang di Universiti Malaya, saya kemudiannya menyertai Jabatan Undang-Undang di Petroliam Nasional (Petronas) sebelum dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Shahrir Abdul Samad, pada tahun 1983," tulis beliau dalam blognya.
Katanya, beliau terus memegang jawatan tersebut sehinggalah perkhidmatan Datuk Shahrir sebagai menteri pusat tamat pada tahun 1987.
Beliau kemudian kembali menyertai dunia guaman dan perniagaan tapi terus aktif dalam politik.
"Bermula sebagai Ketua Pemuda Umno Bahagian Johor Bahru, saya kemudiannya terpilih sebagai Ketua Umno Bahagian pada tahun 1995-98 ketika Datuk Shahrir digantung jawatan dalam Umno" katanya.
Dari tahun 1998 hingga 2003, beliau menyandang pula jawatan Timbalan Ketua Umno Johor Bahru.
Tambahnya, kerjayanya sebagai anggota parlimen bermula pada tahun 1990 apabila beliau memenangani kerusi parlimen Johor Bahru.
Beliau kekal di kerusi itu selama tiga penggal sebelum beralih ke kerusi parlimen Pasir Gudang pada tahun 2004.
Beliau pertama kali berkhidmat di peringkat kerajaan pusat sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya selepas pilihanraya umum 1999.
Beliau kemudian dilantik sebagai Menteri di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada tahun 2004 sebelum menjadi Menteri Pengajian Tinggi pada tahun 2008.
Mohamed Khaled Nordin akan ditentang calon PAS, Syed Othman Abdullah di N43 Permas.