Yang Amat Berhormat Mohamed Azmin Ali. Menteri Besar Selangor

Tuesday, April 9, 2013

PRU-13: Sabak Bernam berada di kedudukan ‘nombor satu di Selangor dan nombor 10 di Malaysia


Parlimen P092 Sabak Bernam, Profesor Dr Abdul Aziz Bari
Calon KEADILAN di Parlimen P092 Sabak Bernam, Profesor Dr Abdul Aziz Bari yakin Pakatan Rakyat mempunyai peluang cerah untuk menang di kerusi itu dalam Pilihan Raya Umum ke 13.
Menurut Aziz, sokongan pengundi terhadap Pakatan Rakyat di Sabak Bernam berada di kedudukan ‘nombor satu di Selangor dan nombor 10 di Malaysia’.
“Umno-BN menang kurang daripada 10 peratus pada pilihan raya umum 2008. Undi mereka menurun sebanyak 9.7 peratus berbanding 2004.
“Sabak Bernam lebih cerah dari segi peluang, hatta kalau dibanding dengan Pandan dan Sepang,” kata bekas pensyarah kanan Universiti Islam Antarabangsa itu.
Ini adalah kali pertama Aziz bertanding  pilihan raya, dalam usaha menempatkan dirinya sebagai wakil di  institusi perundangan tertinggi negara.

Pakar perlembagaan yang tidak asing dalam dunia akademik ini berkata, gerak kerja dan persiapan kempen pilihan raya bagi menawan P092,  telah dimulakan sejak berbulan lalu.
“Alhamdulillah, gerak kerja lancar. BN cuma nampak hebat dari segi pasang bendera sahaja. Program mereka cuma sampaikan BR1M  (Bantuan Rakyat 1Malaysia). Itu pun kecoh, rakyat dihina macam duit itu duit poket mereka (Umno BN),” kata Aziz.
Dalam pada itu kata Aziz, ada di kalangan penduduk di kawasan pedalaman di Selangor ditipu, kononnya pemberian air percuma di negeri itu dilaksanakan  kerajaan Barisan Nasional.
Katanya, kempen itu giat dijalankan oleh ketua-ketua kampung yang dilantik oleh kerajaan pusat.
“Ketua kampung Umno-BN ini dibayar gaji oleh pusat. Mereka ini hanya membuang duit rakyat sebab mereka tidak buat apa-apa, sekadar menabur penipuan Umno untuk memastikan parti itu terus bergerak di peringkat akar umbi,” katanya kepada Keadilan Daily.
Pada PRU 11 pada tahun 2004, calon KEADILAN, Badrul Amin Bahron tewas kepada Mat Yasir Ikhsan dari Umno dengan perbezaan 5,348 undi. Badrul Amin meraih 8,478 undi dari jumlah 30,862 pengundi, sementara Mat Yasir memenangi 13,826 undi.
Bagaimanapun, undi majoriti berjaya dikurangkan secara drastik hingga 1,335 undi dalam PRU 12 pada 8 Mac 2008. Badrul memperoleh 10,720 berbanding Abdul Rahman Bakri dari Umno yang memenangi kerusi itu dengan 12,055 undi.