Tuesday, April 23, 2013

Tawan Johor: Perbezaan antara Pakatan Rakyat dan BN


Calon DAP Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang
GELANG PATAH, 23 APRIL: Calon DAP Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang amat kecewa dengan pencabarnya daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Ghani Othman kerana masih bermain dengan politik perkauman.

Katanya, ia tidak patut berlaku kerana Abdul Ghani selaku bekas Menteri Besar Johor yang memegang jawatan itu selama empat penggal berturut-turut, sepatutnya bersikap sederhana, baik budi dan lebih bersopan.

Mengikut laporan Malaysiakini semalam yang memetik kenyataan Abdul Ghani ketika berceramah kepada majoriti masyarakat Cina di Johor, bahawa “Jika Kit Siang menang, Hadi mungkin jadi PM”.

“Semua orang tahu ini cara propaganda MCA. Mengapa Abdul Ghani juga terikut-ikut dengan cara itu? Apakah Abdul Ghani juga rasa orang Cina mudah ditakutkan dengan propaganda zaman lama itu?


“Taktik kotor MCA yang ditiru Abdul Ghani sudah ketinggalan zaman. Mereka kata kalau orang Cina undi DAP, ia bererti mengundi PAS.

“Jadi saya ingin bertanya kepada MCA dan Abdul Ghani, apa salahnya jika pengundi Cina undi PAS, pengundi Melayu undi DAP, semua pengundi India, Cina, Melayu, Kadazan, Iban mengundi PAS, PKR dan DAP?,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Menurut Kit Siang, apa salahnya jika rakyat Malaysia bersatu padu, bersatu hati dan saling faham-memahami dan itulah yang amat ditakuti BN kerana ia akan menamatkan riwayat politik kaum dan politik perkauman di negara ini.

Malah, katanya, beliau kecewa dengan tindakan itu kerana sebelum ini juga Ghani dilaporkan berkata bahawa Pakatan Rakyat membawa agenda perkauman.

“Tidak masuk akal sama sekali kerana semua orang tahu BN yang menjadikan pemimpin ultra kaum Perkasa sebagai calon mereka pada pilihan raya umum ini.

“Tuduhan Ghani juga tidak masuk akal kerana penyokong BN yang sering melakukan perbuatan yang menimbulkan kebencian kaum lain.

“Bagaimanapun telah terbukti bahawa pemimpin, ahli dan penyokong Pakatan Rakyat tetap bertenang. Kami kekal bertenang sejak lima tahun lalu walaupun dikenakan tekanan provokasi perkauman yang melampau oleh penyokong UMNO serta cybertroopers mereka,” katanya.

Kit Siang berkata, sekarang jelas Pakatan Rakyat membawa era baru politik bersih, sedangkan UMNO/BN membawa era kolot dengan politik perkauman.

Katanya, ini terbukti dengan kenyataan pemimpin BN yang terus memainkan sentimen kaum yang sudah tidak lagi diterima rakyat Malaysia.

“Jelas perbezaan antara Pakatan Rakyat dan BN. Bagi kami, Pakatan Rakyat adalah era baru yang membawa politik berprinsip, bermaruah dan bersih. Manakala BN mencerminkan era lama yang kekal dengan politik kotor yang penuh dengan unsur perkauman dan fitnah.

“Dengan itu, pengundi, terutamanya orang Melayu, sudah jelas bahawa masa depan kita yang cemerlang, bersih dan adil akan diterajui Pakatan Rakyat. Era kolot perkauman BN sudah tidak relevan lagi,” tambahnya.

Ubah! Ini kalilah! – Roketkini.