Tuesday, April 30, 2013

Tragedi Berdarah 13 Mei: DAP penyebab rusuhan kaum May 13?


JOHOR BAHRU: Tiga risalah berbeza menuduh pemimpin pembangkang veteran, Encik Lim Kit Siang, sebagai dalang rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 diedarkan di Skudai, Johor.
Nota: Teruskan membaca berita di bawah ini kemudian sila fahami apa yang sebenarnya terjadi semasa rusuhan kaum 13 Mei 1969 dan renungkan fakta ini; "Kehebatan Perjuangan Melayu Umno".  
Tragedi Berdarah 13 Mei
Walaupun tuduhan berbaur perkauman seperti itu bukanlah baru, tetapi calon Parti Tindakan Demokratik (DAP) bagi kerusi parlimen Gelang Patah menyifatkan episod terbaru itu sebagai "yang paling buruk seumpamanya", lapor laman akhbar Singapura, The Straits Times (ST).
Beliau yang ditemui di ibu pejabat DAP di Gelang Patah, pagi semalam, berkata:
"Mempergunakan isu agama dan menimbulkan ketidakharmonian antara kaum tidak harus dibenarkan. Ia politik paling kotor dalam sejarah."
Salah satu risalah, yang diedarkan dalam bentuk buku kecil setebal 26 muka surat menuduh DAP menyebabkan insiden rusuhan kaum 13 Mei dan menjadi proksi parti yang memerintah Singapura, Parti Tindakan Rakyat (PAP), menyebarkan pengaruh perdana menteri Singapura ketika itu, Encik Lim Kuan Yew, di Semenanjung Malaysia.

Rusuhan kaum 13 Mei 1969 berlaku hanya beberapa hari setelah Perikatan, pelopor Barisan Nasional (BN), mengalami kekalahan teruk dalam pilihan raya.
Beratus orang terbunuh dalam rusuhan itu dengan kenderaan dan harta benda dibakar, menjadikan insiden itu salah satu babak paling hitam dalam sejarah Malaysia.
Walaupun nama pencetak dan penerbit risalah itu tidak dinyatakan - satu kesalahan mengikut undang- undang pilihan raya - ada yang menuding jari kepada Umno, parti terbesar dalam BN.
Sekumpulan belia DAP memberitahu ST bahawa mereka pertama kali bertemu sekumpulan lelaki memakai kemeja-T BN mengedarkan risalah itu di pasar malam Taman Universiti, malam Jumaat lalu.
Pagi semalam, kumpulan anggota DAP yang sama yang berkempen di Pasar Peladang di Skudai, melihat bahan yang sama diedarkan di pasar itu.
Petang semalam, tiga belia DAP telah membuat laporan polis tentang pengedaran risalah itu.