Thursday, May 16, 2013

Analisa Kabinet DS Najib: Ganjaran kepada kawan-rakan yang menang.


Apabila PM DS Najib mengumumkan barisan kabinetnya, maka penganalisis yang bersetuju dengan barisan ini menyatakan inilah kabinet transformasi terbaik, kabinet gabungan muka baru dan lama, dan kabinet yang mampu melonjakkan negara ke depan untuk menghadapi saingan globalisasi.

PROF Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff
Bagi yang tidak bersetuju pula menyatakan inilah kabinet DS Najib untuk menghadapi pemilihan UMNO tahun ini, kabinet kitar semua dan kabinet kayu mati yang mudah dimakan anai-anai.

Saya tidak ada masalah dengan barisan kabinet ini. Mereka yang dilantik adalah hebat.

Namun, yang menjadi masalah kepada saya ialah bilangan kementerian dan menterinya yang ramai. Untuk apa kita mempunyai 35 menteri berbanding hanya 31 menteri pada tahun 2008? Kabinet Jepun dan AS cuma ada 16 dan 18 menteri sahaja; United Kingdom 23, Bolivia 27 dan Belgium 21 menteri kabinet. India pula dengan 1.1 bilion penduduk hanya mempunyai 32 menteri kabinet. Adakah Malaysia dengan jumlah menterinya yang ramai lebih baik dan lebih maju dari negara-negara di atas?


Meskipun Perlembagaan tidak menetapkan bilangan anggota kabinet, kita perlu bandingkan saiz kabinet Malaysia dengan kabinet di negara-negara lain. Kewujudan kementerian dan menteri adalah untuk menyempurnakan tugas dalam mentadbir negara, bukannya sebagai ganjaran kepada kawan-rakan yang menang.

Oleh: PROF Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.
PROF Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff, anak kelahiran Machang, Kelantan, antara pensyarah sains politik yang telah menggunakan banyak masa akademiknya untuk mengkaji perkembangan politik, selain mengkaji pola pengundi dan perkembangan pilihan raya di Malaysia dan Indonesia.

Selain tokoh akademik, beliau lebih dikenali sebagai penganalisis politik yang mempunyai kelas yang tersendiri dan penilaian terhadap perkembangan politik tanah air malah hasil kajiannya sentiasa mendapat rujukan pelbagai pihak khususnya ahli politik dan pihak berkepentingan terutamanya menjelang dan selepas pilihan raya umum Malaysia.