Tuesday, May 28, 2013

Banjir: Dua maut, 200 terkandas

Banjir di San Antonio: Dua maut, 200 terkandas
Marco Fairchild (kiri) dan Gary Garza (kanan) membantu Cik Sueann Schaller keluar daripada kereta yang terkandas apabila banjir melanda kejiranan Westwood Village di San Antonio, kelmarin. - Foto AP
SAN ANTONIO: Banjir buruk akibat hujan lebat di daerah San Antonio, Texas, menyebabkan sekurang-kurangnya dua orang terkorban dan lebih 200 penduduk terkandas dalam kereta dan rumah masing-masing.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba San Antonio, Encik Christian Bove, salah seorang mangsa ialah wanita yang terkandas dalam keretanya dan kemudian dihanyutkan oleh arus deras.
Mayatnya kemudian dijumpai terhimpit di pagar.
Mayat seorang lagi wanita yang dihanyutkan apabila para pekerja cuba menyelamatkannya keluar daripada keretanya telah turut ditemui.

Pihak berkuasa masih lagi mencari seorang remaja lelaki yang dihanyutkan semasa cuba menyeberangi anak sungai.
Jabatan Bomba berkata ia melancarkan lebih 235 kerja menyelamat di serata daerah itu.
Arus banjir dilaporkan sangat deras sehingga dapat menghanyutkan sebuah bas.
Tiga penumpang dan pemandu bas yang terkandas dalam kenderaan itu bagaimanapun bernasib baik kerana berjaya diselamatkan oleh ahli bomba yang datang menggunakan bot.
Sejak tengah malam kelmarin, 25.07 sentimeter hujan dicatatkan turun di Lapangan Terbang Antarabang San Antonio.
Ini menyebabkan air dari semua sungai di daerah itu melimpah ruah dan menyebabkan banjir.
Paras hujan paling tinggi dicatatkan di Olmos Creek di Dresden Drive iaitu setinggi 39.37 sentimeter.
Jalan-jalan raya di daerah itu kekal ditutup semalam.
Awal dari itu, Datuk Bandar Julian Castro telah menggesa para penduduk agar jangan keluar memandu.
Sementara itu, paras air di Sungai San Antonio yang terletak 30 kilometer ke tenggara bandar, berdekatan Elmendorf, diramalkan mencapai paras tertinggi iaitu 18.6 meter pagi semalam.
Ini jauh melebihi paras selamat sungai iaitu 10.5 meter.
Perkhidmatan Cuaca Nasional menyifatkan banjir di daerah itu sebagai ancaman serupa dengan apa yang pernah berlaku pada Oktober 1998.
Hujan lebat selama dua hari pada tahun itu telah menyebabkan banjir di Guadalupe dan San Antonio, dan mengorbankan lebih 30 orang. - AP.