Friday, May 17, 2013

BN Boleh Pikat Semula Pengundi Bandar


Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin
KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata sebilangan pengundi bandar yang memilih pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) boleh ditarik semula untuk menyokong Barisan Nasional (BN).
Khairy, yang juga Ketua Pemuda Umno, berkata usaha itu boleh dilakukan dengan menangani isu-isu yang dekat dengan hati mereka.
"Keputusan pilihan raya bukan satu bencana kepada kita (BN). Kita hanya perlu menangani beberapa isu seperti mengapa beberapa pengundi bandar tidak menyokong kita.

"Saya percaya mereka merajuk atau jatuh cinta sekejap kepada janji-janji populis. "Kita boleh pujuk mereka balik selepas menangani beberapa isu seperti pengangkutan, rasuah dan jenayah di mana semua usaha itu sedang berjalan," katanya pada forum bertajuk 'Pasca PRU-13: Menerajui Negara Ke Hadapan', di sini malam Khamis.
Khairy, yang juga Ahli Parlimen Rembau, berkata persoalan siapa mendapat undi paling popular bukan penting kerana rakyat masih mempunyai keyakinan terhadap kerajaan pimpinan BN dan enggan menjadi mangsa kepada janji-janji populis pembangkang.
-BERNAMA