Monday, May 27, 2013

Jambatan roboh

jambatan roboh di Mount Vernon, Washington
Para pekerja penyelamat sedang berusaha mengeluarkan mangsa yang jatuh terhumban bersama kenderaan mereka apabila jambatan di Mount Vernon, Washington, roboh semalam. - Foto AP
LOS ANGELES: Sebuah jambatan roboh di Mount Vernon, Washington, kelmarin, menyebabkan beberapa kenderaan terhumban ke dalam sungai.
Sekurang-kurangnya tiga orang diselamatkan keluar tetapi sejauh ini tiada laporan mengenai kematian atau kecederaan serius.
Rakaman televisyen menunjukkan sekurang-kurangnya dua kenderaan terhumban ke sungai, dengan salah seorang pemandu kelihatan duduk di atas bumbung kenderaannya.

Kejadian yang berlaku pada 7 malam (waktu tempatan) itu dikatakan disebabkan oleh sebuah trak yang merempuh jambatan itu, kata jurucakap polis.
Seorang saksi, Encik Dale Ogden, berkata: "Saya berada kurang 50 kaki daripada trak itu apabila pelanggaran berlaku. Saya nampak trak itu melanggar bahagian kanan jambatan. Trak itu hampir-hampir terbalik. Sejurus selepas itu, saya lihat jambatan itu roboh."
Jurucakap Jabatan Pengangkutan Washington, Encik Travis Phelps, berkata trak itu besar kemungkinan membawa muatan yang terlalu berat.
Jambatan seluas empat lorong itu dibina pada 1955 dan merentasi Sungai Skagit, ke utara Seattle.
Ia mempunyai had muatan seberat 9,000 kilogram dan digunakan oleh 77,000 kenderaan setiap hari.
Jambatan itu merupakan laluan penting bagi kenderaan kargo yang keluar masuk ke Canada.
Kejadian itu menarik perhatian tentang keadaan infrastruktur di Amerika yang semakin usang.
Ini antara isu yang telah diberi tumpuan oleh Presiden Barack Obama dalam agenda pemerintahan penggal keduanya.
Enam tahun lalu, sebuah lebuh raya di Minnesota roboh, menyebabkan 13 orang terbunuh dan lagi 145 yang lain cedera.
Minggu lalu, Encik Obama telah mengarahkan agar agensi setempat mengurangkan masa menunggu sebanyak 50 peratus bagi memulakan projek pembinaan jalan raya dan jambatan utama.
Pada Februari lalu, Encik Obama menarik perhatian mengenai "infrastruktur usang yang perlu diperbaiki segera".
Beliau mengusul agar AS$50 bilion ($63 bilion) diperuntukkan bagi kerja-kerja pembaikan itu. - Bloomberg, AFP.