Thursday, May 23, 2013

Kalau tak puas hati, bawa ke mahkamah. Protes jalanan bukan penyelesaiannya


acara nyalaan lilin di balai polis Jinjang
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh hari ini berkata, pihak polis tidak lagi boleh bertolak ansur dengan penganjuran perhimpunan seperti acara nyalaan lilin di balai polis Jinjang yang disuraikan pasukannya pada malam tadi.

Menurut Mohmad, aktiviti tersebut akan memberi kegusaran kepada orang awam termasuk penduduk setempat.

Mengulas lanjut, Mohmad berkata protes jalanan bukan satu penyelesaian bagi menyatakan rasa tidak puas hati.

"Perkumpulan atau majlis yang berkumpul sebegini rupa merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang. Jadi pihak polis sudah sampai pada peringkat kita tidak boleh lagi bertolak ansur dengan macam ini kerana dia memberi kegusaran awam kepada penduduk setempat.

"Jadi saya minta biarlah proses undang-undang itu dijalankan seadilnya. Kalau timbul tak puas hati, bukan cara protes di jalanan sebagai proses penyelesaian. Kita ada mahkamah. Bawalah ke mahkamah dan melalui saluran yang sedia ada," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Beliau diminta mengulas mengenai tindakan polis yang menahan seramai 18 orang dan menyuraikan kira-kira 1,000 orang yang hadir untuk menyatakan solidariti kepada pemuda berambut panjang dan tidak terurus, Adam Adli dalam acara berkenaan.