Wednesday, May 29, 2013

Laman berita online kini perlu lesen

Laman berita online kini perlu lesen
Laman berita online kini perlu lesen
LAMAN berita online yang melaporkan berita mengenai Singapura kini perlu mendapatkan lesen, sama seperti yang diamalkan bagi media cetak dan penyiaran.
Mengumumkan itu semalam, Penguasa Pembangunan Media (MDA) menjelaskan bahawa laman berita sedemikian perlu mematuhi peraturan baru tersebut bermula 1 Jun ini jika mereka memenuhi dua kriteria.
Kriteria itu ialah mereka melaporkan sekurang-kurangnya satu artikel mengenai Singapura seminggu dalam tempoh dua bulan dan dikunjungi sekurang-kurangnya 50,000 pengunjung unik dari Singapura sebulan bagi tempoh dua bulan.

Buat masa ini, 10 laman berita dikenal pasti memenuhi dua kriteria itu - kesemuanya dari Singapore Press Holdings (SPH) dan MediaCorp, kecuali satu, iaitu Yahoo News Singapore.
Sementara itu, memberi komen beliau mengenai peraturan baru itu, Menteri Perhubungan dan Penerangan Singapura, Dr Yaacob Ibrahim, berkata tujuan rangka kerja pelesenan itu ialah memastikan amalan kewartawanan yang lebih bertanggungjawab.
Beliau bagaimanapun menekankan bahawa ia bukan kerana pemerintah mahu mengenakan sekatan atau pantauan lebih ketat, sebaliknya "bagi langkah pengawalan lebih konsisten".
"Kami fikir langkah ini tepat pada masanya memandangkan penyampaian berita di sini sudah berubah," kata Dr Yaacob kepada media selepas mengunjungi bilik berita akhbar Tamil Murasu di Genting Lane, Singapura semalam.
Beliau menambah bahawa pihaknya sedang memantau keadaan dan laman berita alternatif dan mereka juga "perlu mematuhi peraturan baru ini jika mereka memenuhi dua kriteria yang ditetapkan".
Lesen yang dikeluarkan di bawah rangka kerja pelesenan baru itu menjadikan lebih jelas tanggungjawab laman berita mematuhi arahan MDA untuk menarik balik sebarang bahan yang melanggar piawaian bahan yang ditetapkan dalam tempoh 24 jam.
Ini termasuk bahan yang menyinggung perasaan kumpulan kaum atau agama, mempromosikan kegiatan pelacuran, atau dianggap tidak sopan oleh masyarakat umum.
Buat masa ini, hal sedemikian tidak jelas di bawah Lesen Kelas Akta Penyiaran yang dipatuhi laman-laman tersebut kini, termasuk Kod Amalan Internet yang perlu dipatuhi semua penyedia khidmat Internet (ISP) dan penyedia bahan Internet berlesen di Singapura.
Rangka kerja baru itu juga memerlukan laman berita meletak bon kelakuan sebanyak $50,000.
Difahamkan sejauh ini belum terdapat sebarang insiden arahan menarik balik bahan penerbitan dikenakan ke atas kesemua 10 laman berita itu.
MDA, bagaimanapun, mengarahkan Google menghentikan penyiaran klip video Innocence of Muslims di laman YouTube di Singapura tahun lalu kerana ia menimbulkan kemarahan di kalangan masyarakat Islam di sini.
Menurut Dr Yaacob, Akta Penyiaran yang ada tidak merangkumi laman yang beroperasi di luar negara, seperti The New York Times dan BBC, dan beliau akan menggubal akta itu bagi memastikan ia dapat dilaksana jika perlu kelak.
MDA akan mengeluarkan notis rasmi kepada syarikat pemilik laman berita yang disenaraikan itu dan bekerjasama dengan mereka bagi memudahkan sebarang pemindahan kepada rangka kerja pelesenan baru itu.