Tuesday, May 14, 2013

Nawaz Sharif bakal jadi PM Pakistan buat kali ketiga?


Pakistan, Nawaz Sharif
LAHORE: Mantan Perdana Menteri Pakistan, Encik Nawaz Sharif, kelihatan bakal mengambil alih kuasa bagi tempoh ketiga, selepas partinya mendahului parti lain dalam pilihan raya Pakistan.
Perangkaan tidak rasmi yang dicatatkan dengan anggaran jumlah undi dimenangi yang disiarkan stesen televisyen negara itu semalam menunjukkan kemungkinan Encik Sharif berupaya mendapat sokongan majoriti atau perlu membentuk sebuah pemerintah campuran.
Namun, perangkaan jurang kemenangan Parti Liga Muslim-N (PML-N) yang dipimpin Encik Sharif ke atas pesaing terdekatnya - sebuah parti pimpinan bekas bintang kriket Pakistan, Encik Imran Khan, dan Parti Rakyat Pakistan (PPP) yang bakal digantinya - menunjukkan bahawa parti beliau mendapat mandat jelas bagi menerajui negara yang mempunyai 180 juta penduduk itu buat lima tahun akan datang.
Para penyokong Encik Sharif berdansa kegembiraan di jalan-jalan raya semalaman di kampung halamannya di Lahore, bandar kedua terbesar di Pakistan dan ibu kota wilayah Punjab.

Pilihan raya Pakistan itu dicemari beberapa insiden keganasan di Karachi, wilayah barat laut Pakistan, dan wilayah Baluchistan di barat daya negara itu.
Sekurang-kurangnya 29 orang terbunuh dalam serangan berkaitan dengan pilihan raya itu, sedang rakyat Pakistan berbondong-bondong keluar mengundi.
Para pegawai pilihan raya berkata sekitar 60 peratus pengundi keluar mengundi tahun ini, berbanding 44 peratus pada 2008.
Encik Sharif berjaya mengatasi saingan sengit daripada Parti Tehreek-e-Insaf Pakistan (PTI) yang dipimpin Encik Khan.
Encik Khan, yang pernah memimpin pasukan kriket Pakistan menjuarai Piala Dunia pada 1992, berjaya menarik sokongan golongan belia negara itu yang kecewa dengan ahli politik tradisional Pakistan.
Namun, Encik Sharif dan partinya akhirnya berjaya kembali berkuasa - walaupun mungkin beliau terpaksa membentuk sebuah pemerintah campuran.
Bagaimanapun, unjuran kerusi yang dipertandingkan menunjukkan bahawa parti beliau menguasai dengan kukuh parlimen Pakistan berbanding pendahulunya.
Para penyokong beliau di Lahore berkata mereka berharap beliau dapat membawa kemajuan selepas pemerintah PPP sebelum ini gagal berbuat demikian dan hanya menumpukan usahanya kepada isu mempertahankan kewujudannya.
"Ia akan membawa kestabilan kepada negara kami," kata seorang penyokong, Encik Fayaz Ranjha.
"Kami mengundi mereka, sekarang giliran mereka pula untuk mengambil langkah menamatkan kesengsaraan kami," tambahnya.
Encik Sharif, 63 tahun, pernah dua kali menjadi perdana menteri Pakistan pada 1990-an dan pernah menyelia ujian senjata nuklear pertama negara itu.
Bagaimanapun, beliau digulingkan dalam satu rampasan kuasa tentera oleh mantan ketua tentera, Jeneral Pervez Musharraf.
Encik Sharif kemudian hidup dalam buangan di Arab Saudi dan hanya pulang ke Pakistan pada 2007. - AP.