Friday, May 3, 2013

Pakatan mampu menang majoriti mudah


Kegagalan parti pemerintah, Umno BN menyelesaikan masalah ekonomi dengan berkesan meyakinkan Pakatan Rakyat untuk menang pada Pilihan Raya Umum Ahad ini dengan majoriti mudah.
Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli
Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli juga yakin Pakatan secara minimum mampu untuk menguasai dua lagi negeri jika dinilai kepada sokongan dan momentum rakyat yang mahukan perubahan.
“Keyakinan ini berdasarkan kepada peningkatan sokongan rakyat kepada Pakatan sejak lima tahun lalu. Ditambah lagi dengan rekod pentadbiran Pakatan yang baik di lima buah negeri (sebelum Perak dirampas BN) yang dikuasai,” katanya dalam temubual Bloomberg pagi tadi.

Ditanya berhubung isu pengundi muda dan Melayu, Rafizi berkata, pengundi muda merupakan faktor penentu dalam PRU kali ini.
“Namun, BN pula cuba memainkan isu perkauman dan memanipulasi isu berkaitan Melayu sejak beberapa tahun lalu dengan tujuan menakutkan pengundi Melayu,” kata calon Pandan itu.
“Tetapi akhirnya kami masih yakin dengan pengundi muda khususnya golongan pekerja yang berada di kawasan bandar dan pinggir bandar sebagai penentu dalam PRU 13,” kata Rafizi optimis.