Pilihan raya kecil N25 Kajang. Kita semua perlukan Anwar Ibrahim ~ Sofi, Kerajaan Rakyat

Saturday, May 4, 2013

Polis Tahan Enam Bookie Keputusan PRU13

Bookie Judi Keputusan PRU13
GEORGE TOWN, 4 Mei (Bernama) -- Polis menahan enam individu, dipercayai menjadi bookie sindiket perjudian keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), dan merampas wang pertaruhan lebih RM2 juta di sini semalam.

Jurucakap PRU13 Kontinjen Negeri ACP Roslee Chik berkata hasil risikan, polis melancarkan operasi serentak dan menyerbu tiga rumah di Sungai Nibong Kecil, Paya Terubong, dan Jalan Air Itam, antara pukul 3 dan 5 petang semalam dan menahan enam lelaki berusia antara 26 dan 55 tahun.

"Dalam serbuan itu, polis merampas wang tunai lebih RM2 juta, 12 set komputer, 67 slip pertaruhan, lapan modem, senarai kod pertaruhan dan dua kalkulator," katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Siasatan awal mendapati sebanyak 40,000 tiket pertaruhan telah dijual secara dalam talian atau menerusi panggilan telefon kepada pelanggan mereka pada nilai minimum RM50 bagi setiap satu tiket.

Katanya polis Pulau Pinang telah menubuhkan 26 pasukan risikan khas bagi memantau dan mengesan kegiatan bookie sepanjang musim PRU13 dengan bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Roslee berkata suspek ditahan reman mengikut Seksyen 6(3)(a) Akta Pertaruhan 1953 bagi membantu siasatan. Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda maksimum RM200,000 dan penjara tidak lebih lima tahun.

Beliau berkata orang ramai tidak seharusnya terpengaruh untuk mendapat wang mudah dengan cara berjudi keputusan pilihan raya kerana ia boleh menjejaskan proses pengundian secara telus.

Menurutnya polis juga memberi jaminan bahawa keadaan adalah selamat untuk pengundi di Pulau Pinang menunaikan tanggungjawab mereka esok, selain menyarankan mereka supaya keluar awal bagi mengelakkan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

-- BERNAMA