Wednesday, May 29, 2013

PROFESOR undang-undang didapati salah terima rasuah habuan seks

Darinne Ko Wen Hui
Darinne Ko
PROFESOR undang-undang Tey Hsun Hang, yang dituduh mendapatkan habuan seks sebagai balasan bagi memberi gred yang lebih baik kepada bekas pelajarnya, didapati bersalah bagi kesemua enam tuduhan yang dihadapinya, semalam.
Tey, 42 tahun, dituduh menerima habuan dalam bentuk hadiah dan seks daripada Cik Darinne Ko Wen Hui, 23 tahun, antara Mei dengan Julai 2010 sebagai balasan memberinya keputusan akademik yang baik.
Pensyarah Universiti Nasional Singapura (NUS) itu dijatuhi hukuman hari ini.
Menyusuli keputusan mahkamah di akhir perbicaraan selama lima bulan sejak Januari lalu itu, NUS telah memecat Tey daripada jawatannya.

Tey, bapa seorang anak perempuan, boleh dikenakan hukuman denda hingga $100,000, penjara hingga lima tahun atau kededua hukuman bagi setiap tuduhan.
Semasa menyampaikan keputusan, Hakim Daerah Besar, Encik Tan Siong Thye, berkata Tey tahu apa yang dilakukannya itu tidak jujur dan salah namun dia terus menerima habuan seks daripada Darinne Ko Wen Hui yang ketika itu anak muridnya, ujar Encik Tan.
Sedang Cik Ko terus memberi perhatian dan hadiah, termasuk sebatang pen jenama Mont Blanc dan kemeja yang ditempah mengikut ukuran Tey.
Ketika membuat rayuan agar Tey dikenakan hukuman ringan, peguamnya, Encik Peter Low, menggesa mahkamah supaya mengenakan denda terhadap anak guamnya.
Encik Low berhujah bahawa jumlah wang yang terlibat dalam kes itu "kecil" dan Tey "terseksa akibat tekanan mental" sejak siasatan bermula pada 2 April tahun lalu.
Denda besar adalah hukuman wajar bagi Tey, tambah Encik Low.
Pihak pendakwa akan menyampaikan hujah mereka tentang hukuman yang dirasakan setimpal hari ini.
PROFESOR undang-undang Tey Hsun Hang
Tey Hsun Hang
Menurut jurucakap NUS, pemecatan Tey berkuat kuasa serta-merta.
Dalam satu kenyataan yang dikirimkan menerusi e-mel semalam, jurucakap NUS berkata walaupun kesalahan Tey dianggap serius, pihak pendakwa tidak mendapati bahawa gred pelajar telah diubah.
Ia menambah bahawa "markah dan ijazah membentuk masa depan siswazah kami, dan reputasi NUS sebagai sebuah institusi".
Menurut jurucakap itu lagi, NUS sedang menjalankan semakan dalaman "bagi memastikan integriti sistem pemarkahan NUS dan sejauh ini kami tidak mendapati bukti tentang sebarang kegenjotan".