Monday, May 13, 2013

PRU13 'ibu segala penipuan'


Anwar sifatkan PRU13 'ibu segala penipuan'
Suara Rakyat Suara Keramat
BATU KAWAN (Pulau Pinang): Ketua pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kelmarin menyifatkan pilihan raya umum Malaysia baru-baru ini sebagai "ibu segala penipuan".
Datuk Seri Anwar Ibrahim terus memberi tekanan ke atas keputusan pilihan raya Malaysia itu, yang didakwanya telah dicuri oleh Barisan Nasional (BN), sebuah parti yang telah memerintah negara itu sejak 56 tahun lalu.
Datuk Seri Anwar berkata demikian semasa berucap kepada puluhan ribu penyokongnya di sebuah stadium di Batu Kawan, Pulau Pinang, tiga hari selepas melancarkan perhimpunan besar-besaran di Petaling Jaya sebagai membantah keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) Malaysia itu.
Beliau melabelkan pilihan raya pada 5 Mei lalu, yang dimenangi BN, sebagai satu rompakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dan menuduh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berat sebelah.

"Pilihan raya ini sebagaimana yang dikatakan oleh Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said, adalah ibu segala penipuan," kata Datuk Seri Anwar.
Beliau menambah pihaknya mempunyai bukti dan mahu SPR menjelaskannya kerana "mereka tidak boleh menipu rakyat Malaysia".
"Mereka telah menipu sebelum ini dan kita memaafkan mereka. Dalam PRU13 ini, kami menuntut jawapannya sekarang!" kata beliau disambut tepukan gemuruh para hadirin, menurut laporan portal berita Malaysiakini, semalam.
Datuk Seri Anwar mengadakan perhimpunan tersebut bagi memberikan tekanan kepada Datuk Seri Najib berhubung keputusan pilihan raya itu.
Ia disifatkan sebagai keputusan paling teruk yang pernah dihadapi BN sejak ia memerintah Malaysia pada 1957.
Sedang Datuk Seri Anwar mendakwa beliau mempunyai bukti penipuan dalam proses pilihan raya itu, Datuk Seri Najib pula mendesak bahawa pilihan raya berkenaan telah dijalankan dengan bebas dan adil.
Sebarang langkah menerbalikkan keputusan pilihan raya itu dijangka gagal, sedang pihak pembangkang menuduh SPR dan mahkamah di Malaysia berpihak kepada parti yang memerintah.
Datuk Seri Anwar juga membayangkan bahawa pihak pembangkang akan kurang menumpukan perhatian ke arah mencabar keputusan pilihan raya tersebut dan sebaliknya mendedahkan sikap berat sebelah prokerajaan dalam sistem pilihan raya negara itu, menurut agensi berita AFP.