Saturday, May 4, 2013

PRU13: Mukhriz MB Kedah jika BN menang

Datuk Mukhriz Mahathir
Seperti disebut-sebut, anak bekas perdana menteri Datuk Mukhriz Mahathir akan dilantik sebagai menteri besar sekiranya BN berjaya merampas kembali Kedah daripada Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum ke-13 esok.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan perkara itu malam ini, tidak sampai 24 jam sebelum peti undi dibuka pada jam 8 pagi esok, lapor Utusan Online.

Langkah itu dipercayai diambil bagi mengukuhkan sokongan BN di negeri Jelapang Padi yang menyaksikan PAS perlahan-lahan meraih kembali popularitinya, memasuki saat-saat berakhir waktu kempen.


Bagaimanapun, jika tersilap langkah, strategi itu mungkin memakan diri apabila terdapat analisis yang mengatakan peluang anak Tun Dr Mahathir itu tidak baik ekoran peningkatan mendadak sokongan masyarakat Cina dan Siam kepada Pakatan akhir-akhir ini.

Malah, PAS dijangka tiada masalah mengekalkan penguasaannya di Ayer Hitam menentang Mukhriz walaupun berbekalkan hanya majoriti 506 undi yang diperoleh dalam pilihan raya umum 2008.

Ini ekoran sentimen antilegasi Dr Mahathir yang masih wujud di peringkat akar Umbi.

Malah, pengumuman Najib juga boleh memakan diri apabila ia berpotensi menimbulkan keresahan penyokong BN yang selama ini dalam diam menyokong ketua perhubungan Umno Ahmad Bashah Nd Hanipah sebagai bakal menteri besar.