Friday, May 31, 2013

Rezeki

As'salaamualaikum wahai sahabat yang dikasihi, Sempena Juma'at, penghulu segala hari, mari kita sama-sama memahami dan hayati maksud ayat Al-Qur’an yang menceritakan tentang rezeki. 
Rezeki
Firman Allah SWT :
“……dan tiada satu pun makhluk bergerak di bumi melainkan dijamin Allah rezekinya”
(Surah Hud, ayat 6).
Jaminan rezeki dari Allah SWT pada mahklukNya adalah jaminan yang pasti lagi benar bagi menunjukkan betapa Maha Kaya Allah SWT yang memiliki segala sifat kebesaranNya.
Firman Allah SWT:

“Dan bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan kepada Allah jualah dikembalikan segala urusan”
(Surah Ali Imran, ayat 109).
Selain dari Allah SWT siapa lagi yang boleh mencukupkan sumber rezeki yang tidak pernah putus-putus bagi menyambung kitaran kehidupan di alam ini. Bukan satu atau dua hari tetapi ribuan malah  jutaan tahun.
Hanya Dia sahaja yang berhak dan layak untuk menurun dan mengeluarkan segala rezeki dari sumber mana yang dikehendakiNya. Inilah antara makna “Ilah” yang terkandung di dalam kalimah syahadah iaitu “la ilah haillallah”.
Dalam permasalahan rezeki, kalimah syahadah ini mengajar kita iktiqad “Tidak ada yang memberi rezeki melainkan Allah”. Jika seseorang mengakui bahawa ada makhluk yang memberi selain Allah SWT bererti dia telah beriktikad dengan iktikad yang salah dan boleh membawa kepada syirik.