Friday, May 3, 2013

Sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri Malaysia


Anwar Ibrahim ceramah DUN Hutang Melintang, Perak
SAMBUTAN SEHANGAT CUACA: Walaupun panas terik petang semalam, penduduk DUN Hutang Melintang, Perak tidak berganjak daripada kawasan ceramah untuk mendengar ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dari Pekan Langkap, Perak: ISU masyarakat India, pengundi hantu dan janji-janji Pakatan Rakyat (PR) berbanding Barisan Nasional (BN), menjadi antara topik pilihan pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam ceramah beliau menawan hati pengundi Perak semalam.
Katanya, beliau prihatin dengan keluhan sesetengah masyarakat India, yang menghadapi masalah mendapatkan kerakyatan Malaysia walaupun sudah berpuluh tahun tinggal dan bekerja di negara itu.

Beliau memberikan contoh tentang seorang lelaki India berasal dari Batang Kali, Selangor, yang bertemu dengannya setelah empat kali gagal dalam permohonan untuk mendapatkan kad pengenalan biru, warna kad pengenalan rakyat Malaysia.
"Mungkin pegawai yang proses permohonan ingat, Batang Kali di Chennai, India," guraunya.
Sebaliknya, dakwa beliau, kerajaan BN tidak mempunyai masalah memberikan status warga negara dengan begitu mudah kepada beberapa golongan pendatang dengan syarat mereka menyokong BN.
Semasa ceramah pertama beliau di kawasan undi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hutang Melintang, Perak, semalam, beliau berjanji akan memberikan status rakyat kepada masyarakat India yang menghadapi masalah berbuat demikian dalam tempoh 100 hari setelah perikatan pembangkang, PR, mengambil alih Putrajaya.
Katanya, slogan BN yang sering diucapkan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, bahawa rakyat didahulukan hanyalah sekadar kata-kata.
"Rakyat didahulukan. Tapi harga barang naik... harga elektrik naik. Selain cakap, kita mesti kerja," katanya.
Beliau mendakwa kerajaan BN tidak prihatin dengan rakyat dan memberikan skandal-skandal yang membabitkan anggota BN dan kaum-kerabat mereka sebagai contoh.
Beliau berkata sekiranya beliau 'naik pangkat' nanti, beliau tidak akan lupakan rakyat yang makan nasi bungkus plastik.
Datuk Seri Anwar sering disebut-sebut bakal menjadi perdana menteri sekiranya PR menjadi kerajaan.
Beliau menyatakan janji bahawa sekiranya PR menjadi kerajaan yang dipilih rakyat dalam pilihan raya Ahad ini, harga minyak akan diturunkan dua hari kemudian pada 7 Mei.
Beliau juga berjanji akan mengumumkan cuti umum Isnin depan sekiranya pembangkang menang kerana katanya, beliau ingin menggalakkan mereka yang bekerja di luar daerah mengundi untuk pulang dan melaksanakan hak mereka.
Semasa ceramah itu, Datuk Seri Anwar, turut menyatakan keprihatinannya tentang apa yang beliau percayai sebagai isu pengundi yang diragukan.
Katanya, beliau mendapat maklumat yang boleh dipercayai bahawa terdapat sejumlah besar 'pengundi' yang diterbangkan dari Sabah dan Sarawak ke Semenanjung Malaysia.
Beliau mendakwa bahawa 16 kapal terbang telah ditempah khas untuk membawa beribu orang ke Semenanjung Malaysia untuk mengundi.
Katanya, 'pengundi' itu ditempatkan di beberapa depot imigresen dan kem Tentera Wataniah di Semenanjung Malaysia.