Monday, May 20, 2013

Video datuk bandar hisap kokain


Toronto, Rob Ford
DATUK Bandar Toronto, Rob Ford diserbu oleh sekumpulan wartawan di luar pejabatnya di Toronto, Kanada selepas video yang mendakwa dia menghisap kokain tersebar.
TORONTO, Kanada - Satu klip video yang didakwa menunjukkan Datuk Bandar Toronto, Rob Ford menghisap dadah jenis kokain mencetuskan kemarahan orang ramai di negara ini.
Video itu bagaimanapun tidak disiarkan secara meluas. Jadi agak sukar untuk memastikan ketulenannya.
Laman web gosip, Gawker dan akhbar The Toronto Star melaporkan video itu dirakam oleh seorang lelaki yang mendakwa dia menjual kokain kepada Ford.

Ford menyifatkan tuduhan itu sebagai merepek. Dia kemudian membuat komen sama sebanyak dua kali di luar pejabatnya dan menambah 'ada berita lain yang dimahukan oleh Toronto Star daripadanya'.
Jurucakap polis Toronto, Mark Pugash memberitahu pihaknya memantau rapat perkembangan situasi terbabit.
Toronto Star menyatakan dua orang wartawannya menonton satu klip video yang menunjukkan Ford duduk di atas sebuah kerusi dan menyedut sesuatu daripada botol kaca. Akhbar itu turut menuduh Ford membuat kenyataan antigay kepada pemimpin Liberal, Justin Trudeau.
Timbalan Datuk Bandar Toronto, Doug Holyday mempersoalkan ketulenan video itu sambil menyatakan video boleh diubah dan pengedar dadah tidak boleh dipercayai. - AP