Wednesday, June 12, 2013

Bekas ejen CIA dedah rahsia AS intip e-mel

Central Intelligence Agency, CIA
Central Intelligence Agency, HQ
WASHINGTON - Seorang bekas petugas Agensi Perisikan Pusat (CIA) yang bekerja sebagai kontraktor di Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA) mendedahkan dalam satu wawancara yang disiarkan kelmarin bahawa dia yang membocorkan rahsia satu program pemantauan sulit AS ekoran timbul kesedaran untuk melindungi kebebasan asas penduduk di seluruh dunia.
Berlindung di sebuah bilik hotel di Hong Kong, kontraktor tersebut, Edward Snowden memberitahu, dia berfikir panjang sebelum memutuskan untuk mendedahkan program sulit NSA tersebut yang diberi nama PRISM.
Namun, lelaki berusia 29 tahun itu berkata, dia terpaksa belot terhadap majikannya kerana berasa Amerika Syarikat (AS) telah membina program mesin pengintip yang boleh mengintip maklumat setiap warga AS.
"Saya tidak mahu tinggal dalam masyarakat yang melakukan perkara keji ini, saya tidak mahu tinggal dalam dunia yang mana perbuatan dan percakapan saya dirakamkan. Saya tidak boleh menyokong program seperti ini," katanya dalam wawancara bersama akhbar Guardian.
Temu bual itu diisiarkan di laman web akhbar berkenaan.

"NSA membina infrastruktur yang membolehkannya memintas hampir apa sahaja," jelas Snowden.
"Keupayaan itu membolehkan NSA mengintip apa sahaja komunikasi manusia. Jika saya mahu melihat kandungan e-mel anda atau mendengar panggilan telefon isteri anda, saya hanya perlu memintasnya dengan PRISM. Saya boleh mengintip e-mel, kata laluan, rekod panggilan telefon dan maklumat kad kredit anda," tambahnya.
Dalam temu bual tersebut, Snowden memberitahu, dia berpindah ke Hong Kong tiga minggu lalu sekali gus meninggalkan kehidupan selesa di Hawaii, gaji AS$200,000 (RM618,700), seorang teman wanita, kerjaya yang stabil dan keluarga yang menyayanginya.
"Saya rela berkorban semuanya kerana saya tidak boleh hidup tanpa rasa bersalah apabila mengetahui saya membenarkan kerajaan AS memusnahkan privasi, kebebasan internet dan kebebasan asas penduduk di seluruh dunia," kata Snowden.
Lelaki tersebut terlibat dalam kes pelanggaran keselamatan negara yang antara terbesar dalam sejarah AS. Dia setara dengan pembocor maklumat Pentagon, Daniel Ellsberg dan Bradley Manning yang mendedahkan kabel diplomatik AS kepada laman web WikiLeaks.
"Saya tidak berniat untuk bersembunyi kerana saya tahu saya tidak membuat salah," katanya.
"Saya juga tidak takut kerana ini merupakan pilihan saya sendiri," tambah Snowden.
Setakat ini, pihak berkuasa AS mengklasifikasikan pembocoran maklumat itu sebagai kes jenayah.
"Saya kini berada di jalan buntu," jelas bekas ejen CIA itu.
Menurutnya, dia mungkin akan diekstradisi ke AS atau disoal siasat pihak berkuasa China ataupun berdepan tindakan balas CIA.
"Ya, CIA mungkin menghantar ejen-ejennya untuk memburu saya. Mereka juga boleh menghantar anggota perisikan pihak ketiga. CIA bekerjasama rapat dengan sejumlah negara. Agensi itu juga boleh mengupah kongsi gelap bagi tujuan tersebut," ujarnya.
Hong Kong yang mempunyai kuasa pentadbiran sendiri menandatangani perjanjian ekstradisi dengan AS.
Snowden membesar di Bandar Elizabeth, Carolina Utara sebelum berpindah ke Maryland dekat ibu pejabat NSA di Fort Meade.
Dia belajar komputer di kolej komuniti Maryland tetapi gagal menamatkan pengajian untuk mendapatkan diploma.
Snowden mula menyertai NSA sebagai pengawal keselamatan di sebuah fasiliti rahsia di Universiti Maryland. - Reuters