Saturday, June 15, 2013

BEKAS ketua Pasukan Pertahanan Awam dihukum penjara enam bulan

BEKAS ketua Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), Peter Lim Sin Pang, telah dijatuhi hukuman penjara enam bulan semalam atas kesalahan menerima habuan seks.
Dalam menjatuhkan hukuman, Hakim Daerah, Cik Hamidah Ibrahim, berkata hukuman denda tidak memadai kerana hukuman sedemikian akan meremehkan beratnya kes rasuah.
Peter Lim Sin Pang
Lim, 53 tahun, didapati bersalah pada 2 Mei lalu, atas satu tuduhan rasuah berkaitan hubungan seks dengan Cik Angie Pang Chor Mui, 49 tahun, sebagai ganjaran memajukan kepentingan majikan wanita berkenaan ketika itu, Nimrod Engineering.
Jumaat lalu, kejutan berlaku apabila Lim mengaku mengadakan hubungan intim bersama dua wanita lain - Cik Ester Goh Tok Mui dan Cik Kelly Lee Wei Hoon, kededuanya berusia 40-an tahun.
Cik Goh seorang pekerja firma teknologi maklumat NCS dan Cik Lee pula pekerja firma teknologi Singapore Radiation Centre. Kededua firma merupakan pembekal SCDF.
Lim menghadapi 10 tuduhan menerima rasuah - sembilan daripadanya telah ditangguh apabila Lim minta dibicarakan. Pihak pendakwa kemudian bersetuju tujuh tuduhan dipertimbangkan dan lagi dua ditarik balik.
Dalam hujahnya semasa sidang perbicaraan mempertimbangkan hukuman, Timbalan Pendakwaraya, Encik Hon Yi, meminta mahkamah mengenakan hukuman penjara lima bulan.
Beliau berkata: "Sebagai pemimpin SCDF, Lim sepatutnya memberikan contoh yang baik namun dia mengadakan hubungan yang mengaibkan SCDF."

Peguambela, Encik Hamidul Haq, sebaliknya berkata bahawa Lim tidak sepatutnya dipenjarakan dan patut dikenakan denda tinggi.
Beliau berkata SCDF tidak mengalami sebarang kerugian dana memandangkan tindakan Lim tidak menyebabkan tender diberikan kepada Nimrod dan sistem pembelian SCDF tidak terjejas.
Tambahan pula, Lim juga tidak memberi jaminan jelas kepada Cik Pang bahawa dia akan membantunya, kata Encik Haq.
Sebelum menjatuhkan hukuman semalam, Hakim Hamidah berkata mahkamah perlu memberi isyarat jelas bahawa kegiatan rasuah, khususnya yang dilakukan oleh seseorang yang memegang jawatan awam tinggi, tidak boleh diterima.
"Bagi setiap pegawai awam yang tercemar, keyakinan ke atas perkhidmatan awam akan terjejas dan hakikat ini tidak dapat saya abaikan," kata beliau.
Hakim Hamidah menambah bahawa setiap kesilapan yang dilakukan pegawai awam "boleh menjejas kedudukan institusi berkenaan di mata orang ramai dan juga memberi gambaran buruk terhadap perkhidmatan awam secara keseluruhannya".
Menolak permintaan pihak pembela dan menjatuhkan hukuman penjara enam bulan, Hakim Hamidah berkata: "Hukuman denda dalam kes begini adalah tidak wajar kerana ia akan mempersendakan beratnya kes rasuah".
Semasa Hakim Hamidah membentangkan hujahnya, Lim kelihatan tertunduk, mengurut dahinya sambil mengeluh.
Ditemui selepas sidang perbicaraan, Encik Hamidul berkata anak guammnya ingin membuat rayuan ke atas hukuman itu.
"Kami telah memfailkan notis rayuan.
"Kami berpendapat hukuman yang dijatuhkan agak keterlaluan dan mengecewakan. Kami akan terus berusaha agar keadilan akan terserlah," katanya di luar bangunan mahkamah.
Sementara menunggu rayuannya, Lim dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak $15,000.