Saturday, June 15, 2013

Enam calon presiden Iran

Enam calon presiden Iran
CALON-CALON PRESIDEN: (Atas dari kiri): Mantan Menteri Luar Iran, Encik Ali Akbar Velayati; mantan Ketua Pengawal Revolusi, Encik Mohsen Rezai; Encik Mohammad Gharazi; dan ketua perunding nuklear Iran, Encik Saeed Jalili. (Bawah dari kiri): Mantan Speaker Parlimen, Encik Gholam Ali Haddad Adel; mantan perunding nuklear utama, Encik Hassan Rowhani; mantan Naib Presiden Iran, Encik Mohammad Reza Aref; dan Mayor Teheran, Encik Mohammad Baqer Qalibaf. - Foto AFP
kr
TEHERAN: Rakyat Iran harus memilih salah seorang daripada enam calon yang disahkan oleh satu panel 12 anggota Majlis Pengawal Revolusi.
Kesemuanya, kecuali seorang, dianggap pihak Barat sebagai berfahaman konservatif.
Salah seorang daripada mereka bakal menggantikan Presiden Mahmoud Ahmadinejad, yang telah tamat tempoh lapan tahunnya bagi jawatan tersebut.
Sebelum itu, seramai lapan calon disenaraikan bagi pemilihan jawatan presiden negara Teluk Parsi itu.
Namun, dua daripada mereka menarik diri.
Mantan Speaker Parlimen berfahaman konservatif, Encik Gholam Ali Haddad Adel, menarik diri Isnin lalu, manakala satu-satunya tokoh reformis dalam senarai calon presiden itu, Encik Mohammad Reza Aref, menarik diri sehari kemudian.
Berikut adalah profil ringkas senatai calon yang bakal diundi oleh 50.5 juta pengundi berdaftar Iran:

  • Encik Saeed Jalili
Berusia 47 tahun, Encik Jalili dianggap sebagai calon yang akan menang dalam Pilihan Raya Presiden Iran itu.
Beliau kelihatan rapat dengan Ayatollah Ali Khamenei, yang mempunyai kata putus berhubung isu-isu negara.
Namun, beliau juga dianggap kurang berpengalaman dalam pentadbiran eksekutif.
Sebagai ketua perunding nuklear Iran, Encik Jalili terkenal dengan pendirian tegasnya semasa berunding dengan kuasa-kuasa dunia.
Pihak Barat meragui program nuklear Iran yang kontroversial itu, yang menganggapnya sebagai satu usaha membangunkan keupayaan senjata nuklear negara itu - satu dakwaan yang dinafikan Teheran.
Bersuara lembut tetapi mempunyai persona yang tegar dan warak, Encik Jalili berharap mendapat sokongan daripada pengundi yang berpendirian tradisional berdasarkan kesetiaannya kepada Ayatollah Khamenei.
Dilahirkan di bandar Mashhad, Encik Jalili adalah seorang veteran perang Iran-Iraq pada 1980-an, di mana beliau kehilangan kekuatan bahagian bawah kaki kanannya.
  • Mohammad Baqer Qalibaf
Seorang lagi calon yang dianggap mempunyai peluang cerah bagi jawatan presiden Iran, Encik Qalibaf, 51 tahun, berikrar akan memperbaiki ekonomi Iran, yang sedang menghadapi kelembapan ketika ini, dalam masa "dua tahun".
Rekod beliau sebagai ketua polis negara dan Mayor Teheran, ditambah dengan kesetiaannya kepada Ayatollah Khamenei, telah meningkatkan peluang politiknya sejak beberapa tahun lalu.
Encik Qalibaf sering mengkritik pentadbiran Presiden Ahmadinejad.
  • Ali Akbar Velayati
Encik Velayati, 67 tahun, adalah seorang ahli politik konservatif dan diplomat veteran utama di Iran, yang telah berkhidmat sebagai penasihat ehwal antarabangsa kepada Ayatollah Khamenei sejak Ogos 1997.
Beliau berjanji akan membaiki "kerosakan dan kemusnahan" yang ditinggalkan Encik Ahmadinejad "dalam masa dua atau tiga tahun ini" dengan memperbaiki semula hubungan luar, yang menurutnya boleh meningkatkan status Iran, khususnya ekonomi negara itu.
Beliau mengkritik taktik Encik Jalili berhubung rundingan nuklearnya dengan kuasa-kuasa dunia.
  • Mohsen Rezai
Berusia 58 tahun, Encik Rezai memiliki ijazah doktor falsafah dalam bidang ekonomi dan merupakan seorang pengkritik "salah urus" ekonomi Encik Ahmadinejad.
Encik Rezai berikrar, jika dipilih menjadi presiden, beliau akan menyekat kenaikan kadar inflasi dan pengangguran di Iran.
Terkenal sebagai ketua unit elit Pengawal Revolusi Iran, beliau dikalahkan oleh Encik Ahmadinejad pada pilihan raya 2009.
  • Hassan Rowhani
Encik Rowhani, 64 tahun, adalah seorang yang berfahaman sederhana dan satu-satunya ulama Iran yang bertanding bagi jawatan presiden.
Beliau pernah menjadi perunding nuklear di bawah mantan presiden reformis Iran, Encik Mohammad Khatami.
Encik Rowhani berikrar akan memulihkan semula hubungan diplomarik Iran dengan musuh ketatnya, Amerika Syarikat, yang memutuskan hubungan diplomatiknya dengan Iran berikutan serangan beberapa pelajar Iran ke atas pejabat kedutaannya di Teheran pada 1979.
Selepas penarikan diri Encik Aref, beliau disokong oleh Encik Khatami, dan dilihat menarik sokongan daripada seorang lagi mantan Presiden, Encik Akbar Hashemi Rafsanjani, yang dilarang daripada bertanding.
  • Mohammad Gharazi
Berusia 72 tahun, Encik Gharazi adalah calon tertua dan paling kurang dikenali.
Beliau adalah seorang menteri di bawah pentadbiran Encik Rafsanjani, serta di bawah pemimpin pembangkang dan mantan Perdana Menteri, Encik Mir Hossein Mousavi, yang kini menjalani hukuman tahanan dalam rumah.
Encik Gharazi berhujah bahawa pengalaman eksekutifnya dalam rejim berkenaan cukup untuk membolehkannya mengendalikan Iran sebagai seorang presiden.
Beliau berikrar akan membentuk pemerintah "antiinflasi". - AFP.