Friday, June 7, 2013

Eropah tenggelam

hotel di Hrensko, Czech Republic
DRESDEN (Jerman): Keluarga dalam kesulitan diangkat helikopter daripada bumbung rumah, kenderaan dihanyutkan air deras, dan tetambak tidak dapat menghalang air melimpah keluar dari sungai.
Itulah keadaannya semalam di kawasan tengah Eropah, yang ibarat sebuah lautan akibat dilanda banjir besar.
Di Jerman, puluhan ribu orang terpaksa dipindahkan dan loji-loji kimia di sepanjang kawasan sungai Danube dan Elbe ditutup mendadak.
Dekat bandar Deggendorf, dua tetambak pecah di sepanjang sungai Danube dan Isar, membuat airnya yang deras melimpah keluar membanjiri kawasan perumahan berdekatan.
Sebuah lebuh raya di selatan Jerman hilang ditenggelami air, dengan kereta hanyut dan bumbung trak ternampak di permukaan air.
"Ini memang satu suasana yang mengancam nyawa. Rumah-rumah ditenggelami air sehingga sedalam tiga meter," ujar seorang anggota bomba, Encik Alois Schraufstetter.
Di Halle, sebuah bandar di timur Jerman, bandar rayanya ditenggelami air bah meskipun ada usaha untuk melindunginya dengan beg-beg berisi pasir.
Pihak berkuasa menggesa sekitar 30,000 pelajar meninggalkan rumah mereka sedang air di Sungai Saale mencecah paras tertinggi dalam masa 400 tahun.

"Kami berhempas pulas cuba menangani masalah paras air sepanjang hari semalam (kelmarin), dan kami kecundang," kata Cik Julia Linne, seorang kakitangan rumah rawatan rapi di Halle.
"Akhirnya kami terpaksa menyerah kalah," ujar beliau.
Di Republik Czech, anggota bomba berkata lebih 19,000 orang terpaksa dipindahkan selepas air bah menderu masuk ke dalam rumah mereka.
Pihak berkuasa berkata paras air di Sungai Elbe, yang mengalir juga ke Jerman, boleh mencecah 11 meter, hampir empat kali lebih tinggi daripada biasa.
Selepas menenggelami beberapa bahagian Prague, banjir di Elbe kini mulai menderu ke kawasan utara ke arah Jerman, khususnya Dresden, sebuah bandar di timur negara itu tempat ratusan penduduk sedang dipindahkan.
Air sungai itu dijangka melimpah keluar awal hari ini, dengan parasnya semalam mencecah kira-kira tujuh meter melebihi paras biasanya.
Seramai 16 orang maut sejak kejadian banjir bermula minggu lalu - lapan di Republik Czech, lima di Jerman, dua di Austria dan seorang di Slovakia.
Selain itu, sekurang-kurangnya empat orang dilaporkan hilang di Republik Czech. - AP.