Tuesday, June 11, 2013

Firman Allah swt di dalam surah Al-Israa' ayat 34

Apabila seorang Muslim itu ikhlas menjaga perjanjiannya dengan Allah, semestinya janji-janjinya kepada manusia tidak akan disia-siakan 
Seorang pemimpin pula akan menunaikan janji-janjinya untuk menjaga hak-hak para pengikutnya. Dan akhirnya, hak-hak pelbagai pihak akan tertunai dengan adanya sifat Al-Wafaa' yang didasari ketakwaan kita terhadap Allah swt.
AGAMA Islam mengajarkan apabila seorang Mukmin itu berjanji, maka wajiblah ia menunaikan janjinya. Ini kerana, setiap janji yang diberi akan dipersoalkan oleh Allah 'Azza Wa Jalla di akhirat kelak.
Firman Allah swt di dalam surah Al-Israa' ayat 34
Firman Allah swt di dalam surah Al-Israa' ayat 34:
Ertinya: "Dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya."
Ayat ini memberikan kita gambaran yang jelas bahawa Islam meletakkan perjanjian di tempat yang tinggi dan mulia dan ia harus dihormati, dipenuhi dan disempurnakan dengan sebaik-baiknya.
Malah, kalau kita dapat mengimbas kembali sejarah kehidupan Baginda Rasulullah saw, Baginda merupakan contoh terbaik dalam menghormati dan melaksanakan sifat Al-Wafaa'.

Ia jelas sebati dalam diri Baginda dan dapat dilihat melalui pergaulan dan interaksi hariannya, sama ada dengan orang-orang Islam mahupun dengan mereka yang bukan Islam.
Contoh terbaik sikap Baginda dalam melaksanakan sifat Al-Wafaa' dapat dilihat melalui peristiwa Perjanjian Al-Hudaibiyyah yang berlaku pada tahun keenam Hijrah.
Peristiwa tersebut menjadi bukti bagaimana Rasulullah saw berpegang teguh dengan perjanjian yang telah dimeterainya dengan pihak Quraisy, walaupun perjanjian tersebut jika dilihat dengan mata kasar kandungannya menyebelahi pihak Musyrikin Quraisy.
Namun, hasil daripada kebijaksanaan Baginda yang dapat melihat faedah jangka panjang (Fiqh Al-Ma'al) perjanjian ini, dan kejujuran Rasulullah saw dalam menunaikan janjinya, akhirnya perjanjian tersebut berpihak kepada kemaslahatan Islam dan mesyarakat Islam pada ketika itu.
Ini kerana implikasi atau kesan daripada perjanjian tersebut, agama Islam dapat berkembang dengan lebih pesat, keamanan dapat diwujudkan, sehingga akhirnya membawa kepada kejayaan umat Islam membuka kota Makkah, dua tahun sesudah perjanjian tersebut.
Inilah jati diri dan sikap masyarakat Islam yang dididik oleh madrasah Rasulullah saw iaitu masyarakat yang apabila berjanji, akan berpegang teguh dan mengotakan segala janji dengan sebaik mungkin.
Sebaliknya, apabila umat Islam mula tidak menghormati perjanjian dan mula memungkiri janji-janji mereka, maka pastinya ia akan bakal mengundang kemurkaan Allah, dan melemahkan diri umat Islam itu sendiri serta mencemarkan keindahan ajaran Islam yang murni.
Apabila seorang Muslim itu ikhlas menjaga perjanjiannya dengan Allah, semestinya janji-janjinya kepada manusia tidak akan disia-siakan.
Seorang Muslim akan berusaha hadir tepat pada waktunya setelah berjanji untuk berbuat demikian. Seorang peniaga akan menunaikan janjinya kepada pelanggan-pelanggannya; seorang suami pula akan menunaikan janjinya buat isterinya yang diucapkannya sewaktu akad nikah dahulu, begitu juga sebaliknya.
Manakala, seorang pelajar akan menunaikan janjinya kepada keluarga dan masyarakatnya untuk belajar bersungguh-sungguh, dan seorang guru akan menunaikan janjinya untuk mendidik para pelajarnya dengan penuh ikhlas, tanpa mengira sama ada pelajar tersebut cerdik atau seorang yang lambat dalam memahami setiap pelajarannya.
Seorang pemimpin pula akan menunaikan janji-janjinya untuk menjaga hak-hak para pengikutnya. Dan akhirnya, hak-hak pelbagai pihak akan tertunai dengan adanya sifat Al-Wafaa' yang didasari ketakwaan kita terhadap Allah swt.