Wednesday, June 5, 2013

Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un. Semoga arwah nyaman di Sana

S. Shamsuddin meninggal
Pelakon pelawak veteran S. Shamsuddin meninggal
PELAKON veteran popular seangkatan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, S. Shamsuddin, menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 84 tahun semalam.
Allahyarham, yang nama sebenarnya Samsudin Dali, meninggal dunia di Hospital Universiti Nasional (NUH) pada 10.56 pagi.
Menurut keluarga Allahyarham, doktor berkata beliau meninggal dunia akibat serangan jantung.

Ketika ditemui di flat beliau di Bukit Batok, isteri Allahyarham, Cik Puteh Ismoon, 77 tahun, tidak dapat menahan sebak di sisi jenazah Allahyarham.
Cik Puteh berkata setelah menyuap Allahyarham beberapa suapan mi rebus, beliau ke dapur untuk mengambil jus epal, minuman kegemaran Allahyarham.
Sekembali beliau ke bilik, Cik Puteh mendapati Allahyarham terlentok di atas katil.
"Saya terus menjerit 'Ipin, Ipin mari tengok bapak'," kata Cik Puteh.
'Ipin', anak bongsu pasangan itu, iaitu Encik Mohamed Arifin Samsudin, 44 tahun, bergegas ke bilik ibu bapanya untuk melihat keadaan ayahnya.
Beliau kemudian menelefon ambulans.
Sementara menunggu ambulans tiba, Encik Mohamed Arifin cuba mengembalikan pernafasan ayahnya menerusi bantuan pernafasan kecemasan (CPR).
Beliau melakukan demikian selama 10 minit, namun tidak berhasil.
"Saya cakap dengan mak, 'Bapak ni dah tak ada lagi... Mukanya dah pucat'," kata beliau.
Allahyarham kemudian dikejarkan ke NUH dan disahkan meninggal dunia di hospital.
Menurut Encik Mohamed Arifin, ayahnya tidak menunjukkan sebarang tanda sakit, namun tekanan darahnya rendah sejak beberapa hari lalu.
"Kami pantau setiap pagi dan malam. (Ayah) tak pernah mengadu, dia diam saja," kata beliau.
Encik Mohamed Arifin menyifatkan Allahyarham sebagai seorang ayah yang tegas, namun tidak pernah memukul anak- anaknya.
Anak keempat Allahyarham, artis Mohd Arif Samsudin, 50 tahun, berkata beliau sedang berada di rumahnya apabila menerima panggilan telefon tentang berita tersebut.
Beliau bertemu arwah ayahnya buat kali terakhir kelmarin.
"Dia nampak okay. Tapi dua tiga hari ini dia semakin lemah. Boleh nampaklah, dia tak berdaya," kata beliau.
Encik Mohd Arif berkata beliau akan merindui segala-galanya tentang ayahnya.
"Kehilangan saya juga, kalau tak ada dia, tak adalah saya. Macam kehilangan semuanya," kata beliau.
Sementara itu, antara yang menziarahi keluarga Allahyarham semalam ialah pelakon yang juga pelawak seangkatan beliau, Wahid Satay.
"Saya rindu banyak sangat. Kadang-kadang kita bertengkar, ada masa baik. Begitulah keadaan saya dengan dia.
"Saya dengan dia dah macam adik-beradik. Mana pergi pun, saya tak boleh lepas dengan dia. Jadi, apabila kedudukannya sudah muktamad di sini, saya kalau pergi ke mana-mana, dah tak begitu rancaklah," kata beliau.
Allahyarham, yang mempunyai tujuh anak dan 14 cucu, berlakon dalam pelbagai filem sejak 1950-an.
Beberapa filem komedi lakonan beliau, terutama bersama Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Aziz Sattar, masih digemari ramai sehingga hari ini termasuk filem Bujang Lapok, Pendekar Bujang Lapok, Seniman Bujang Lapok, Nujum Pak Belalang dan Nasib Si Labu Labi.
Filem terakhir yang dilakonnya ialah Tiga Menantu pada 2008.
Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Pusara Abadi pagi ini.